JUMLAH pesakit Covid-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan hari ini rekod terendah dalam hampir sebulan, kata ketua pengarah kesihatan.
Sebanyak 22,642 kes baharu dilaporkan hari ini, mengatasi 20,798 kes sembuh, tambah Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.
Dengan pertambahan kes baharu hari ini, jumlah kes aktif kini meningkat kepada 264,292, katanya.
Dr Noor Hisham berkata daripada 1,003 pesakit Covid-19 dirawat di ICU, 490 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Bilangan kes ICU terendah direkodkan pada 25 Julai, dengan 970 pesakit menerima rawatan. Manakala bilangan pesakit ICU yang memerlukan bantuan pernafasan paling rendah dicatatkan pada 24 Julai, iaitu 248 kes.
Bagi kes kematian pula, sebanyak 265 kes direkodkan hari ini kata Dr Noor Hisham, dengan 219 membabitkan rakyat tempatan manakala 46 lagi warga asing.
Ini menjadikan seramai 14,818 orang meninggal dunia akibat Covid-19 sejak pandemik melanda negara tahun lalu, menurutnya.
Katanya lagi, Selangor merekodkan kes kematian tertinggi hari ini dengan 105 kes.
Sementara negeri-negeri lain, Johor melaporkan 39 kes, Sabah (23), Kedah (19), masing-masing 18 di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, Negeri Sembilan (12), Perak (9), Sarawak (6), masing-masing lima di Kelantan dan Pahang, Melaka (4) serta Terengganu (2).
Dr Noor Hisham berkata daripada 265 kematian hari ini, 69 adalah kematian di luar hospital. Seramai 59 mangsa adalah rakyat tempatan. – 25 Ogos, 2021.

Komen