BEKAS Yang di-Pertua Negeri Sabah Sakaran Dandai dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Gleneagles di Kota Kinabalu setelah dijangkiti Covid-19, lapor Astro Awani memetik anaknya.
Sakaran, 91, sudah hampir seminggu dimasukkan ke hospital itu sejak Rabu lalu, kata anaknya Nasir Sakaran.
“Keadaan beliau stabil. Bagaimanapun semalam, beliau dimasukkan ke ICU atas nasihat doktor bagi pemantauan yang lebih terperinci dan rapi.
“Setakat ini, ahli keluarga dan anak-anak ada berhubung dengan Tun Sakaran melalui panggilan video,” katanya seperti dipetik stesen berita itu.
Nasir juga dilapor berkata beliau berhubung dengan ayahnya pagi tadi.
“Ayah saya ada mohon orang ramai mendoakan kesihatan beliau kembali sihat dan cepat sembuh,” katanya.
Sakaran adalah pengerusi Umno negeri yang pertama, yang mengambil alih kepimpinan parti negeri daripada pimpinan parti di pusat.
Umno melebarkan sayap ke Sabah pada 1991 susulan perubahan politik negeri yang menyaksikan kemunculan Parti Bersatu Sabah (PBS) pimpinan Pairin Kitingan.
Selepas Barisan Nasional (BN) membentuk semula kerajaan negeri susulan percaturan politik selepas pilihan raya negeri 1994, Sakaran dilantik ketua menteri ke-8 dalam sistem penggiliran jawatan antara pemimpin parti-parti dalam BN. Sistem penggiliran itu dimansuhkan pada 2004. – 25 Ogos, 2021.
Komen