KES Covid-19 meningkat bagi hari kedua berturut-turut ketika Malaysia melaporkan 22,642 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
Kes turun pada Isnin kepada 17,642, terendah dalam 13 hari, sebelum meningkat kepada 20,873 semalam.
Empat negeri selain Lembah Klang melaporkan jumlah tinggi hari ini. Ia adalah Kedah dengan 2,279 kes, Johor (1,832 kes), Kelantan (1,424 kes) dan Perak (1,390 kes).
Angka tertinggi bagi Kedah sebelum ini adalah 2,143 kes yang dilaporkan pada 12 Ogos, Johor sebanyak 1,743 yang dicatatkan semalam, Kelantan (1,424) dan Perak sebanyak 1,248 pada 20 Ogos.
Sementara itu, bagi hari ke-125 berturut-turut Selangor mencatatkan kes harian tertinggi berdasarkan negeri dengan 6,325 jangkitan.
Jangkitan di negeri paling ramai penduduk itu meningkat hari ini selepas melaporkan kes dalam lingkungan 4,000 sejak dua hari lalu.
Menggabungkan kes di Selangor, Kuala Lumpur (1,128) dan Putrajaya (21) hari ini, ia menjadikan jumlah keseluruhan di Lembah Klang sebanyak 7,474 kes, iaitu 33% daripada keseluruhan kes di negara ini.
Sabah menjadi negeri kedua tertinggi selepas Selangor dengan jumlah kes harian 3,224 jangkitan.
Negeri lain yang melaporkan kes baharu ialah Sarawak (1,667), Pulau Pinang (1,427), Terengganu (744), Pahang (522), Melaka (342), Negeri Sembilan (269) dan Perlis (44).
Labuan, menjadi wilayah/negeri persekutuan pertama di negara ini yang memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional yang hanya melaporkan empat kes baharu.
Sementara itu, Malaysia sudah memberikan 420,164 dos vaksin Covid-19 semalam.
Seramai 155,004 orang mendapat dos pertama mereka sementara 265,130 orang mendapat suntikan kedua.
Setakat ini, 58% (13,580,934) populasi dewasa sudah mendapat dos kedua sementara 79.6% (18,631,593) menerima suntikan pertama mereka.
Secara keseluruhan, sebanyak 31,792,363 juta dos vaksin sudah diberikan sejak program vaksinasi bermula pada 24 Februari. – 25 Ogos, 2021.


Komen