Anwar akan jumpa ketua parti pembangkang, kata Majlis Presiden Pakatan Harapan


Majlis Presiden Pakatan Harapan mengumumkan untuk jumpa semua parti pembangkang bagi mempelawa mereka bekerjasama, selain sedang pertimbang pelawaan perdana menteri menyertai MPN dan jawatankuasa khas Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2021.

ANWAR Ibrahim akan bertemu dengan pemimpin utama semua parti pembangkang untuk menjemput mereka menyertai atau bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), kata Majlis Presiden PH.

Pertemuan akan diadakan “dalam masa terdekat”, kata tiga ketua parti dalam PH.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan telah memutuskan bahawa Ketua Pembangkang akan mengadakan satu pertemuan dengan pemimpin utama kesemua parti pembangkang dalam masa terdekat, termasuk menjemput mereka untuk menyertai atau bekerjasama dengan Pakatan Harapan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan dikeluarkan atas nama Anwar selaku Presiden PKR, Presiden Amanah Mohamad Sabu, dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Mereka menyebut jemputan kerjasamasa dengan PH itu selaras dengan ketetapan parti yang dibuat di Port Dickson pada April 2021 mengenai keterbukaan parti untuk mengukuhkan blok 105 ahli parlimen pembangkang.

“Pertemuan tersebut antara lain akan membincangkan isu-isu politik semasa serta persiapan bagi menghadapi sidang Parlimen yang bakal bermula 6 September, dengan kemungkinan satu sidang khas diadakan lebih awal dari itu,” tambah mereka.

Majlis Presiden PH berpendapat sidang Parlimen lebih awal perlu untuk membahaskan usul percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan mengisi kekosongan kerusi timbalan speaker Dewan Rakyat susulan peletakan jawatan Azlina Othman Said.

Dalam pada itu, mereka memaklumkan PH akan mempertimbang jemputan Ismail Sabri kepada pembangkang untuk menyertai Majlis Pemulihan Negara dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Mereka berpendapat jemputan itu perlu ikhlas untuk menangani krisis dan “bukan sekadar tangkap muat atau menjadi ‘rubber stamp’ kepada pandangan Kerajaan semata-mata”.

Ismail Sabri mempelawa pembangkang membantu pentadbirannya dalam ucapan sulungnya pada Ahad, sehari selepas mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara. – 25 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen