JEPUN pada Rabu mengambil langkah memperluaskan perintah darurat virus ke lapan wilayah lagi, sehari selepas upacara pembukaan Paralimpik, ketika jangkitan meningkat menyebabkan hospital berada di bawah tekanan.
Langkah ini dibuat seiring berakhirnya dengan cuti sekolah musim panas dan pakar jangkitan atasan mencadangkan untuk menangguhkan permulaan kelas bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Negara ini mencatat lebih 20,000 jangkitan baharu sehari dalam beberapa minggu terakhir, dan di kawasan bandar seperti Tokyo, pesakit dalam keadaan serius terpaksa menunggu berjam-jam lamanya atau berada dalam ambulans lebih lama bagi mencari hospital yang mempunyai katil kosong.
Jurucakap kerajaan Katsunobu Kato berkata panel pakar bersetuju dengan rancangan untuk melaksanakan perintah darurat di lapan wilayah lagi selain 13 kawasan lain sedia ada termasuk Tokyo.
Keputusan itu dijangka menjadi rasmi hari ini, apabila Perdana Menteri Yoshihide Suga mengadakan mesyuarat khas menteri.
Langkah itu sebahagian besarnya mengehadkan penjualan alkohol oleh restoran dan bar dan meminta mereka tutup lebih awal, sambil menggesa orang ramai bekerja dari rumah dan mengelakkan acara yang tidak penting.
“Ini membebankan rakyat Jepun, tetapi kami meminta usaha berterusan daripada mereka untuk mencegah jangkitan,” kata Kato semasa taklimat berkala.
Kerajaan juga merancang memasukkan empat wilayah lain di bawah sekatan kurang ketat yang sudah melibatkan lapan wilayah.
Secara keseluruhan, langkah yang dirancang akan menyebabkan 33 dari 47 wilayah di Jepun berada di bawah peraturan antijangkitan yang tinggi ketika negara itu menjadi tuan rumah Paralimpik selepas Olimpik.
Penganjur berkata langkah pencegahan mereka menghentikan penyebaran jangkitan daripada peserta kepada penduduk Jepun tetapi beberapa pakar berpendapat acara tersebut menyebabkan penduduk tidak ambil serius arahan kerajaan agar tinggal di rumah.
Seorang penasihat utama kerajaan mengenai virus memberitahu ahli Parlimen pada Rabu yang pihak kerajaan tempatan sepatutnya boleh mempertimbangkan untuk melanjutkan cuti musim panas bagi anak-anak sekolah untuk mencegah jangkitan.
Setakat ini, kerajaan tidak melaksanakan penutupan sekolah secara menyeluruh, dan meneruskan program vaksinasi yang dimulai dengan perlahan tetapi meningkat dengan cepat, dengan sekitar 40% penduduk sudah mendapat vaksinasi lengkap.
Setakat ini Jepun mencatatkan kira-kira 15,500 kematian akibat wabak. – AFP, 25 Ogos, 2021.
Komen