NAMA kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak penting tetapi yang lebih penting prestasi pentadbirannya pada penilaian rakyat, kata Najib Razak.
Penasihat Barisan Nasional yang juga bekas perdana menteri berkata sesebuah kerajaan bukan dinilai pada nama tetapi melalui pencapaiannya.
“Nama tak penting, pada saya yang lebih diutamakan inilah kerajaan baharu, kerajaan persekutuan… yang menentukan reaksi dan penilaian, rakyat pada akhirnya. Bukan pada nama, tetapi pada keberhasilan.
“Kerana itulah semasa saya mentadbir negara, saya utamakan pencapaian, yang makna kita mesti menunjukkan result. Ini yang rakyat mahu,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.
Najib bercakap kepada pemberita selepas melepaskan bantuan makanan dan keperluan untuk mangsa banjir insiden kepala air dari Gunung Jerai minggu lalu di kediamannya di Jalan Langgak Duta.
Sejak hujung minggu lalu, pemimpin Perikatan Nasional dan Barisan Nasional terutamanya dari Bersatu dan Umno berselisih pandangan mengenai nama kerajaan Ismail Sabri, yang menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Pemimpin kanan Bersatu, termasuk Muhyiddin sendiri, menyebut kerajaan ini sebagai “kerajaan Perikatan Nasional” tetapi dibantah beberapa pemimpin Umno.
Ismail Sabri yang ditanya perkara sama juga di Yan kelmarin hanya menjawab pendek: “Kerajaan Malaysia.”
Ismail Sabri, 61, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-9 pada Sabtu, menggantikan Muhyiddin yang letak jawatan pada 16 Ogos.
Beliau dijangka mengemukakan barisan anggota jemaah menterinya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik minggu ini. – 25 Ogos, 2021.
Komen