MASIH belum ada berita gembira lagi buat rakyat Malaysia menjelang Hari Merdeka minggu depan memandangkan jangkitan dan kematian akibat Covid-19 masih tinggi, kata Lim Kit Siang.
Veteran DAP itu berkata Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang diumumkan pada 15 Jun gagal membebaskan negara dari pandemik kerana jangkitan dan kematian terus meningkat sejak PPN diumumkan.
“Kita sepatutnya masuk Fasa 3 PPN selepas Hari Kebangsaan, selepas kita capai tiga indikator, iaitu kurang 500 kes harian Covid-19, katil di unit rawatan rapi cukup dan 60 peratus populasi dewasa diberi vaksin.
“Malaysia tidak pernah capai indikator pertama itu iaitu kurang dari 4,000 kes setiap hari. Kita sekadar berkisar antara 5,150 kes harian pada 16 Jun hingga 9,353 kes pada 7 Julai dan selepas itu dari 13 Julai, kita capai lima angka kes, pecah rekod 23,564 kes harian pada 20 Ogos,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Kerajaan menjangkakan seluruh negara beralih ke fasa 4 PPN pada penghujung Ogos.
Bagaimanapun, jumlah kes harian rata-rata masih lima angka sejak pertengahan Jun, dengan semalam mencatat 20,837 kes. Kini sebanyak 262,713 jangkitan aktif Covid-19 dikesan di seluruh negara.
Kemasukan ke ICU kekal tinggi. Sejak 25 Julai, setiap hari lebih 1,000 pesakit dimasukkan ke ICU sementara jumlah kematian kini sudah 14,553 orang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, kerajaan sudah buat yang terbaik melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meskipun tidak berapa memuaskan dalam mengekang penyebaran virus.
“Kadar vaksinasi di PICK di Labuan yang dicapai dengan 92.4% divaksinasi sepenuhnya diikuti Sarawak (85.4%), Lembah Klang (85.2%), Negeri Sembilan (72.3%), Perlis (62.4%), sementara negeri lain masih ketinggalan,” katanya.
Pulau Pinang (47.1%), Melaka (46.8%), Terengganu (42.7%), Perak (41.4%), Johor (38.8%), Kedah (38.3%), Kelantan (37.6%) dan Sabah (31.4%) yang perlu dipercepatkan program vaksinasi, kata Lim.
Setakat ini, 58% (13,580,934) penduduk dewasa telah menerima dos kedua mereka sementara 79.6% (18,631,593) telah diberi suntikan pertama.
Lim berkata kerajaan di bawah perdana menteri baharu Ismail Sabri Yaakob perlu mencari formula kerajaan penuh (all of government) dan pendekatan masyarakat menyeluruh (whole of society).
“Ismail Sabri pegang jawatan ketika rakyat rendah harapan tetapi saya sedia tangguh pandangan saya supaya beliau ada peluang buktikan boleh bangunkan negara berikutan cabaran yang Malaysia hadapi sejak 12 hingga 18 bulan lepas, selain menyatupadukan rakyat menjadi ‘keluarga Malaysia’.
“Ujian pertama akan datang ketika Ismail Sabri umum kabinet baharu dan tindakannya sebelum undi percaya di Parlimen bulan depan,” katanya.
Tidak sampai seminggu rakyat Malaysia menyambut ulangtahun Merdeka ke-64, namun jangkitan kumulatif Covid-19 dijangka cecah 1.6 juta dengan hampir 16,000 kematian akibat Covid-19.
Malaysia juga berada di kedudukan 23 antara negara-negara berdasarkan jumlah kes kumulatif Covid-19
Setakat hari ini, hanya Labuan yang beralih ke Fasa 4 PPN. Kedah, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka dan Johor masih dalam Fasa 1.
Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Negeri Sembilan kini berada di Fasa 2 manakala Perlis dan Sarawak dalam Fasa 3. – 25 Ogos, 2021.
Komen