PENANDA Covid-19 meningkat lagi hari ini selepas mengalami sedikit penurunan semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes aktif meningkat kepada 262,713 kes baharu selepas 20,837 jangkitan baharu dilaporkan hari ini.
Jangkitan baharu mengatasi jumlah kes pulih hari ini yang mencatatkan 18,613 pesakit pulih.
Semalam, jumlah kes aktif menurun untuk pertama kalinya dalam tempoh 58 hari kepada 260,700 apabila kes pulih melebihi kes baharu. Jumlah jangkitan baharu juga lebih rendah dengan 17,672 kes.
Daripada kes aktif hari ini, 1,063 berada di unit rawatan rapi (ICU) dan 511 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Terdapat 211 kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kematian keseluruhan seramai 14,553 orang. Daripada jumlah mangsa yang meninggal dunia hari ini, 187 adalah rakyat Malaysia.
Untuk hari kedua berturut-turut, Johor mendahului negeri lain dengan mencatatkan kematian tertinggi seramai 41 orang.
Negeri lain yang turut melaporkan kematian adalah Selangor (36), Kedah (32), Pulau Pinang (23), Sabah (17), Perak (16), Negeri Sembilan (12), Pahang (sembilan), Terengganu (lima), Kelantan dan Melaka (masing-masing tiga), Sarawak dan Perlis (masing-masing dua). Kuala Lumpur mencatatkan 10 kematian.
Dalam kes kematian yang dicatatkan, 40 meninggal dunia di luar hospital; 26 daripada warganegara Malaysia, selebihnya warga asing.
Seramai 169 meninggal dunia hari ini mempunyai sejarah penyakit. – 24 Ogos, 2021.
Komen