LABUAN wilayah pertama beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Khamis ini, umum Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Peralihan itu susulan Labuan telah mencapai 92.4% imuniti kelompok bagi populasi dewasa dan kes positif Covid-19 harian yang menurun kepada satu digit secara konsisten selama 12 hari berturut-turut, katanya.
“Malahan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Labuan kini telah menurun ke angka sifar (0%) berbanding 30% pada bulan sebelumnya.
“Mengambil kira keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan hari ini mengumumkan peralihan Fasa PPN di Labuan daripada Fasa Tiga kepada Fasa Empat,” jelas Ismail Sabri dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu kata perdana menteri, semua sektor ekonomi di Labuan dibenarkan beroperasi sepenuhnya tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Seminar, bengkel, kursus, dan aktiviti berkaitan mesyuarat bersemuka dibenarkan dengan kapasiti ruang 50%, tambahnya.
“Majlis sosial seperti kenduri-kendara, sambutan perayaan, pertunangan, retreat, reunion dan lain-lain majlis sosial dibenarkan dengan had 50% berdasarkan kapasiti premis/ dewan dengan mengamalkan penjarakan fizikal.”
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa 2 PPN berkuatkuasa Khamis ini.
“Keadaan Covid-19 juga bertambah baik dengan menunjukkan trend penurunan penggunaan wad ICU daripada lebih 120% kapasiti pada hujung Mei kepada kurang daripada 40% semalam.
“Perkembangan tersebut adalah selaras dengan pencapaian kadar vaksinasi yang semakin tinggi iaitu 72.3 peratus daripada kalangan populasi dewasa yang telah menerima dua dos.”
Dengan peralihan tersebut, individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 diberi kelonggaran merentas negeri, manakala kebenaran sama juga diberi kepada pasangan suami isteri jarak jauh untuk berjumpa pasangan masing-masing.
Bagaimanapun, dengan syarat pasangan mestilah telah menerima dua dos vaksin.
“Aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan juga bagi individu yang lengkap dua dos vaksin, tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh pihak berkuasa agama negeri.
“Aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN),” kata Ismail Sabri.
Individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan untuk makan di restoran, warung dan premis kedai makan, manakala pemilik premis pula wajib memaparkan notis penerimaan pelanggan yang telah lengkap divaksinasi, tambahnya.
Bagi aktiviti pelancongan pula, Ismail Sabri berkata ia hanya dibenarkan dalam negeri sahaja, juga dengan syarat mereka yang ingin menginap di hotel dan homestay mestilah sudah menerima dua dos vaksin. – 24 Ogos, 2021.
Komen