MAJLIS Presiden Pakatan Harapan menggariskan dasar-dasar baharu untuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang baru dilantik dalam melaksanakan dan membebaskan negara dari wabak Covid-19 serta menangani krisis ekonomi dan politik.
“Memandangkan Kerajaan terdahulu yang dipimpin mantan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin gagal menangani pelbagai masalah termasuk isu Covid-19, dan memandangkan Jemaah Menteri yang baharu bakal dibentuk, Pakatan Harapan berpandangan bahawa Perdana Menteri wajar memberikan pertimbangan terhadap isu-isu yang dibangkitkan di atas demi rakyat dan negara,” menurut satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Ismail Sabri dilantik sebagai perdana menteri kesembilan selepas Muhyiddin hilang majoriti tipis di Parlimen minggu lalu.
Antara pembaharuan yang disarankan oleh majlis presiden adalah untuk penambahbaikan Pelan Pemulihan Negara dengan memastikan pogram saringan ujian awam “FTTIS+V” dilaksana dan memastikan sokongan tambahan diberi kepada sistem kesihatan awam.
“Reformasi fiskal dengan meningkatkan jumlah bantuan untuk rakyat termasuk suntikan tunai RM45 bilion secara langsung kepada pekerja, perniagaan dan sektor kesihatan, serta melaksana program moratorium pinjaman bank tanpa faedah demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian.
“Reformasi institusi dengan memperkasa Parlimen melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen, memperkukuh fungsi semak imbang Parlimen, serta mengiktiraf peranan Pembangkang dengan benar-benar dilibatkan dalam usaha dan ikhtiar kerajaan.
Majlis presiden juga untuk melakukan reformasi perundangan termasuk melaksana Undi 18 dan Akta Anti Lompar Parti. – 24 Ogos, 2021.
Komen