JALAN Haji Salleh yang terletak di pinggir ibu kota dalam daerah Sentul, Kuala Lumpur tidak pernah sunyi kerana ia jalan utama digunakan penduduk kawasan itu.
Tetapi, kesibukannya pagi tadi berganda kerana dibanjiri ratusan penunggang motorsikal bagi mendapatkan minyak percuma.
“Pemberian minyak percuma kepada penunggang motor oleh Pemuda Umno Wilayah Persekutuan kawasan Parlimen Batu bukan kerana kita ingin menawan hati pengundi untuk menang pilihan raya,” kata Naib Pemuda Umno Bahagian Batu Mohd Nisham Abd Hamidi sewaktu ditemui The Malaysian Insight.
Ahli politik berusia 36 tahun itu juga mengatakan Program Khidmat Bakti Bantuan Minyak Petrol Percuma Untuk Motosikal telah digerakkan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan sejak setahun lepas apabila rakyat mula bergelut dengan kenaikan harga minyak.
Putrajaya pada Disember tahun lalu menghapuskan subsidi minyak RON95 dan diesel dan diganti dengan kaedah pengapungan terkawal bergantung kepada harga pasaran minyak dunia.
Mohd Nisham berkata, pemberian minyak percuma kepada penunggang motor dijalankan sebulan sekali dengan jumlah peruntukan antara RM30,000 hingga RM40,000 sejak setahun lepas.
“Sejak setahun lepas kita dah belanja dalam RM30,000 hingga RM40,000 dengan setiap satu lokasi jumlah motosikal ialah sebanyak 500 penunggang.
“Dan sebuah motor diberi peruntukan minyak sebanyak RM5.”
Kebiasaannya sebanyak RM7 diperlukan bagi mengisi penuh minyak bagi motor jenis kapchai, dan RM5 boleh dikira hampir penuh.
Sejak awal pagi, stesyen minyak Jalan Haji Salleh dibanjiri penunggang motorsikal jenis kapchai pelbagai kaum. Program itu bermula pada jam 9.30 pagi dan berakhir jam 11.30 pagi.
Namun Mohd Nisham mengatakan, jumlah kehadiran penunggang motor hari ini melebihi sasaran. Dianggarkan seramai 700 penunggang motorsikal hadir ke program itu hari ini.
“Hari ini memang ramai, dalam 700 dan sebab itu kita terpaksa tambah dengan duit kita sendiri.”

Parlimen Batu, kawasan perlu bantuan?
Tambahnya, permintaan pemberian minyak percuma yang melebihi dari sasaran di Jalan Haji Salleh berlaku kerana ia merupakan jalan utama.
Sentul yang terletak di bawah Parlimen Baru juga merupakan penempatan projek perumahan rakyat (PPR) terbanyak di Wilayah Persekutuan.
Kawasan itu juga masih mempunyai banyak kampung tradisitional menyebabkan banyak program dianjurkan Umno Bahagian Batu untuk mengurangkan beban rakyat, kata Mohd Nisham lagi.
“Parlimen Batu ini paling banyak PPR dan kampung tradisi dan disebabkan itu rata- rata orang di sini adalah mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.
“Sebab itu kalau tengok banyak program Umno anjurkan seperti pemuda kita ada pemberian minyak percuma, gunting rambut rambut, bantuan persekolah.
“Dan Umno Bahagian kita ada Program Jom Bantu Rakyat iaitu pemberian barangan asas seperti minyak, gula, juga diadakan pagi tadi dan esok program Jualan Sentuhan Rakyat.”
Ahli Parlimen Batu tidak berikan khidmat terbaik
Naib Pemuda Umno Bahagian Batu turut mendakwa ahli Parlimen Batu Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua tidak menjaga kawasannya.
“Ahli Parlimen sini tidak menjaga kawasan dia sendiri, jadi bagi Umno dan Pemuda Umno kita yang tampil.
“Sebab kita tengok kawasan Batu bukan hanya ramai yang berpendapatan rendah tapi banyak juga masalah sosial seperti kecurian motor, pecah rumah, dadah.”
Katanya Pemuda Umno di Bahagian Batu melihat masalah dihadapi penduduk tempatan yang perlu diselesaikan dahulu berbanding isu- isu nasional.

“Kita mahu ubah persepsi Pemuda Umno tidak hanya dilihat sebagai kumpulan pendesak tapi yang ke depan dalam menyelesaikan isu - isu setempat ini,” kata Mohd Nisham yang mengakui dulu pernah terlibat dalam gerakan reformasi mahasiswa 1998 dan 1999 namun kini kembali kepada Umno.
“Sebab itu kita tengok Pemuda Umno tidak mainkan isu- isu nasional seperti 1 Malaysia Develepment (1MDB), bagi kita, kita tidak tahu sejauh mana kebenaran.
“Apa kita tumpukan adalah untuk selesaikan masalah setempat, kita lihat mereka yang berlawan kerana isu ini mereka yang kaya ada rumah di London semua tapi kita ini rakyat macam mana pun akhirnya kena teruskan kehidupan mereka.”– 20 Januari, 2018.
Komen