NEW Zealand merekodkan 41 lagi kes baharu Covid-19, yang tertinggi dalam masa sehari sejak April tahun lalu, lapor Reuters.
Semua kes dikesan di Auckland kecuali tiga di Wellington, dan melibatkan varian Delta.
Semua kes itu juga dikaitkan dengan kluster jangkitan melibatkan perhimpunan di sebuah gereja di Auckland, sebelum pihak berkuasa mengenakan sekatan pergerakan Selasa minggu lalu (17 Ogos) selepas mengesan satu kes Covid-19, yang pertama sejak Februari 2021.
Sehingga hari ini, pihak berkuasa kesihatan mengesan lebih 400 lokasi yang berkemungkinan ada penularan wabak sementara mereka yang dikategorikan sebagai kontak rapat kini mencecah lebih 15,700 orang.
Ketika kemuncak kes jangkitan Covid-19 tahun lalu, New Zealand merekodkan sehingga 89 kes baharu sehari.
Perdana Menteri Jacinda Adern dipuji seluruh dunia atas kepimpinannya membendung Covid-19 namun beliau dikritik dalam kalangan rakyat kerana sekatan pergerakan yang menjejaskan ekonomi.
Semalam, Adern melanjutkan sekatan pergerakan tahap empat di seluruh negara untuk tiga hari lagi sehingga 27 Ogos sementara khusus di Auckland sehingga 31 Ogos. – 24 Ogos, 2021.
Komen