SEBANYAK 19,053 kes pulih berbanding 17,672 kes baharu Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam yang lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Ini menjadikan jumlah terkumpul kes pulih kini mencecah 1,297,723, tambahnya.
Rekod tertinggi kes pulih harian sebelum ini direkodkan pada 19 Ogos lalu dengan 21,720 orang disahkan sembuh sepenuhnya dari jangkitan Covid-19.
Dr Noor Hisham dalam kenyataan hari ini juga berkata jumlah kes aktif kini turun kepada 260,700 berbanding 262,255 semalam. Daripada jumlah itu, seramai 1,040 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 502 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Beliau turut menjelaskan, 14,337 (81.13%) daripada 17,672 kes baharu yang dilaporkan hari ini adalah pesakit yang tiada atau tidak lengkap vaksinasi.
Daripada jumlah itu pula, 6,472 adalah pesakit Kategori 1 (tidak bergejala), 7,487 Kategori 2 (bergejala ringan), manakala pesakit Kategori 3 (radang paru-paru) seramai 161 orang.
Pesakit Kategori 4 (radang paru-paru dan perlu bantuan pernafasan) pula seramai 96 orang, sementara 121 lagi dalam Kategori 5 (kritikal dan perlu bantuan pernafasan), kata Dr Noor Hisham.
Bagi kes positif melibatkan individu yang lengkap divaksin pula, seramai 1,759 orang dalam Kategori 1, diikuti Kategori 2(1,518 ), Kategori 3 (29), Kategori 4 (12) dan Kategori 5 (17).
Sementara itu, KKM juga melaporkan 174 kes kematian akibat Covid-19 hari ini, dengan 158 daripadanya adalah rakyat tempatan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah 14,342 orang, tambah Dr Noor Hisham.
Selangor hanya merekodkan tujuh kematian hari ini, selepas mencatat kes kematian tertinggi selama beberapa bulan.
Johor mendahului negeri-negeri lain dengan 53 kematian, diikuti Pulau Pinang (28); Sabah (25); Negeri Sembilan (11); masing-masing sembilan di Kuala Lumpur, Kedah dan Kelantan; Pahang (7), Melaka (6), Perak (4) serta masing-masing tiga kes di Sarawak dan Perlis.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan 21 kematian di luar hospital, dengan 14 daripadanya adalah rakyat tempatan. – 23 Ogos, 2021.
Komen