Sayap puteri BN intai Sarawak


Bede Hong

Sarawak akan membuka peluang baharu kepda Barisan Nasional, kata Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2018.

SAYAP puteri baharu Barisan Nasional (BN), Azalea akan menjadikan Sarawak sebagai destinasi pertamanya untuk membina jentera akar umbi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya gembira dengan wakil-wakil yang dihantar dari seluruh negara. Hari ini, kita ada wakil dari SUPP (Parti Rakyat Bersatu Sarawak) pada majlis pelancaran di sini,” Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati Samsudin memberitahu pemberita hari ini.

Turut hadir di persidangan media ialah Ketua Wanita SUPP Robin Kho Teck Wan.

Azalea dilancarkan oleh Perdana Menteri Najib Razak di Lake Gardens, Kuala Lumpur dan dihadiri oleh kira-kira 3,000 ahli Puteri Umno.

Menurut Mas Ermieyati, BN masih belum mempunyai ahli rasmi Azalea.

Nama sayap baharu parti itu diambil dari bunga yang terdapat dalam pelbagai variasi dan warna.

Turut hadir ialah “Sahabat BN”, iaitu organisasi-organisasi masyarakat sivil yang selari dengan gabungan pemerintah seperti Pekema.

Mas Ermieyati yang mengetuai Azalea berkata, Sarawak mewakili tempat baharu.

“Kami (Puteri Umno dan parti komponen BN Semenanjung Malaysia) sudah biasa bekerja bersama di Negeri Sembilan dan Selangor.

“Sarawak akan membuka peluang baharu untuk kami. Kami akan mendapat data baharu (tentang bakal ahli). 

“Walaupun ada beberapa komponen yang belum membentuk Puteri (sayap wanita BN) sendiri, kami akan jemput wakil ... supaya mereka dapat bantu BN (menghadapi PRU14).”

Kata Mas Ermieyati lagi, keutamaan Azalea ialah menepis “berita-berita palsu” pembangkang.

“Kami akan beritahu mereka di luar sana mengenai apa yang telah kami buat, dan kami akan didik rakyat supaya cuma menerima berita yang benar. Bukan terima sahaja apa yang dibaca dan dilihat, sebaliknya periksa kesahihan berita itu.

“Itu akan jadi keutamaan kami.”

Beliau yang juga timbalan menteri pelancongan dan kebudayaan berkata, selain dari melibatkan belia, Azalea juga akan “memeriksa tahap sokongan” yang BN terima diperingkat akar umbi.

“Kami sedang memperkuatkan jentera untuk mendekati pengundi sebagai persiapan pilihan raya akan datang. Saya yakin, dengan sokongan dari akar umbi, ia akan menambahkan lagi semangat dan dinamisme kami,” katanya. – 20 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • setiap ahli parti perlu bersama-sama berganding bahu bagi menghadapi pru yg semakin hampir..sentimen serta mainan politik kotor pembangkang perlu dihalang dari terus meracuni minda pengundi..

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan