SSR lancar kempen kutipan dana bayar kompaun 31 peserta perhimpunan


Elill Easwaran

Peserta perhimpunan mengenang lebih 13,000 rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat Covid-19 membakar lilin dan meletakkan bunga ros sebagai memorial di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 19 Ogos lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2021.

SEKRETARIAT Solidariti Rakyat (SSR) memulakan kempen kutipan dana bagi membayar kompaun bernilai RM62,000 yang dikenakan terhadap peserta yang hadir dalam perhimpunan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur 19 Ogos lepas.

“Kami ingin meminta jasa baik rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi untuk menyumbang bagi membantu peserta membayar kompaun yang dikenakan,” kata pergerakan aktiviti belia itu dalam satu kenyataan hari ini.

SSR berkata, perhimpunan itu adalah malam mengenang lebih 13,000 rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat Covid-19 tetapi bertukar menjadi kecoh apabila polis menahan kesemua mereka yang hadir.

Kompaun berjumlah RM2,000 dikeluarkan kepada 31 peserta yang hadir membakar lilin dan meletakkan bunga ros sebagai memorial.

Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, kesemua perserta dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 apabila terlibat dalam perhimpunan.

Kesemua peserta dikompaun selepas dibawa ke IPD Dang Wangi untuk disoal siasat.

Aktivis berkenaan memuat naik aduan mereka di Telegram dan media sosial menyatakan polis tidak membenarkan mereka menghubungi peguam.

Kumpulan ini mempertimbangkan kemungkinan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap polis.

“Pihak Sekretariat sedang berbincang dengan beberapa rakan peguam berkenaan tindakan yang akan diambil dan kami tidak menolak untuk menyaman pihak polis kerana tangkapan yang dibuat tidak berasaskan lunas perlembagaan dan peserta yang ditahan tidak diberikan akses untuk diwakili oleh peguam setiap seorang.

“Kami telah membuat laporan polis pada 22 Ogos 2021 di IPD Sentul agar siasatan dibuat terhadap pegawai polis IPD Dang Wangi yang telah menahan peserta pada malam tersebut,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Kumpulan ini mengumpulkan sumbangan melalui akuan “Persatuan Pengundi Muda’ di CIMB 8603878996 dengan rujukan “#Lawan”. – 23 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen