Johor kurang bekalan vaksin Covid-19, kata ahli Parlimen Kulai


Pihak berkuasa perlu adil dan memastikan semua PPV di Johor dapat beroperasi dengan keupayaan maksimum, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2021.

BEKALAN vaksin Covid-19 di Johor tidak mencukupi ketika kes harian di negeri itu masih tinggi, kata Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching.

Beliau berkata kekurangan itu ketara di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan EduCity, yang mula beroperasi 2 Ogos lalu, dengan sasaran 1,000 penerima vaksin sehari.

“Bagaimanapun, PPV mengalami kekurangan bekalan vaksin selepas tiga minggu beroperasi.

“Kompleks Sukan EduCity dimaklumkan mengenai kekurangan bekalan dos pertama semalam, jadi pemberian vaksin ditangguhkan mulai hari ini sehingga diberitahu kemudian,” katanya dalam kenyataan.

Johor mencatat lebih 1,000 kes Covid-19 sehari sejak 28 Julai. Hari ini, Kementerian Kesihatan melaporkan 17,672 kes baharu Covid-19, dengan 1,367 direkodkan di Johor.

Teo selain itu berkata kadar vaksinasi di negeri itu masih rendah berbanding kadar purata kebangsaan.

“Setakat 22 Ogos, sebanyak 78% penduduk dewasa di Malaysia sudah  meneriam sekurang-kurangnya satu dos vaksin, tetapi di Johor hanya 68.3%.

“Johor selama ini tidak menerima bekalan vaksin yang mencukupi walaupun kami dijanjikan akan menerima 2 juta dos bulan ini,” katanya.

Tambah beliau, kelewatan pemberian vaksin akan menambahkan lagi risiko jangkitan dan kematian akibat Covid-19 dalam masyarakat.

“Rakyat marah apabila janji temu vaksin mereka ditangguhkan.”

Pihak berkuasa juga perlu adil dan memastikan semua PPV di Johor dapat beroperasi dengan keupayaan maksimum, tegasnya. – 23 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen