Islamisasi harmoni pada zaman Dr Mahathir, Anwar


Radzi Razak

Dr Maszlee Malik berkata Islamisasi yang dilakukan terutamanya oleh Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim dilihat lebih bertujuan untuk mensejahterakan masyarakat dan mengangkat Islam, dan bukannya menjaga kepentingan politik yang memihak dan mengekalkan kuasa, seperti sekarang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Januari, 2018.

ISLAMISASI yang dimulakan pada era Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri dilaksanakan dengan harmoni dan membawa perubahan yang positif dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan ekonomi di Malaysia, kata pengkaji gerakan politik Islam.

Dr Maszlee Malik dari Universiti Antarabangsa Islam Malaysia berkata Islamisasi yang dilakukan terutamanya oleh Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim, yang jadi timbalannya antara 1993 hingga 1998, dilihat lebih bertujuan untuk mensejahterakan masyarakat dan mengangkat Islam, dan bukannya menjaga kepentingan politik yang memihak dan mengekalkan kuasa, seperti sekarang.

“Malangnya apa yang berlaku kini bukanlah Islamisasi tetapi kelencongan dari agenda asal Islamisasi kepada politik identiti dan esklusif yang melampau. 

“Apa yang berlaku kini juga merupakan sebahagian daripada usaha sesetengah pihak demi kepentingan politik dan mengekalkan status quo politik tanah air,” katanya, tanpa mahu menamakan pihak yang beliau maksudkan.

Maszlee mengulas kenyataan aktivis sosial Marina Mahathir bahawa Islamisasi membawa Malaysia ke ambang kemerosotan kerana ia bukan saja akan memecahbelahkan masyarakat tetapi pada masa sama menyuburkan keganasan.

“Islamisasi yang berjaya dan harmoni pernah berlaku pada zaman Dr Mahathir tanpa mengundang radikalisasi dan ekstrem. Malah banyak industri yang menyumbang secara positif kepada ekonomi, sosial, pendidikan dan intelektualisme telah berjaya dicapai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurut pensyarah itu, gandingan Dr Mahathir dan Anwar, yang sebelum menyertai Umno memimpin gerakan Islam melalui Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), banyak melahirkan badan dan insitusi yang berasaskan Islam.

Antaranya UIAM sendiri yang ditubuhkan pada 1983, institusi perbankan Islam, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) dan Yayasan Pembangungan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

“Bukan dia (Dr Mahathir) buat secara solo, dia dan Anwar,” jelas Maszlee.

Namun Maszlee melihat sekarang ini Islamisasi digunakan lebih untuk menjaga kepentingan politik untuk mengekalkan kuasa. – 20 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen