China lapor sifar jangkitan Covid-19 tempatan


Antara langkah yang diambil pemerintah komunis China adalah dengan mengadakan ujian saringan berskala besar, selain membuat sekatan pergerakan bersasar bagi menghalang kemaraan varian Delta Covid-19. – Gambar EPA, 23 Ogos, 2021.

PEMERINTAH Komunis China hari ini melaporkan sifar jangkitan koronavirus tempatan pada Isnin ketika Beijing bersungguh mengatasi kes terbaharu paling serius sejak beberapa bulan ini.

Rekod tanpa jangkitan itu susulan ujian saringan besar-besaran dan sekatan bersasar Beijing bagi menghalang varian Delta.

Sejak pertengahan Julai, jangkitan kembali menular ganas apabila petugas pembersihan di lapangan terbang Nanjing didapati positif, paling teruk sejak Covid-19 pertama kali muncul di Wuhan.

Lebih seribu orang telah dijangkiti di beberapa bandar.

Bagaimanapun pihak berkuasa komunis bertindak balas dengan membuat penutupan bersasar, menyekat perjalanan dan mengadakan ujian saringan besar-besaran sebagai sebahagian daripada usaha mencapai sifar jangkitan.

Jangkitan tempatan baharu menurun sejak lebih dua minggu.

Pada Isnin, data Suruhanjaya Kesihatan Nasional menunjukkan jangkitan tempatan kembali sifar setelah lima minggu.

Sementara itu, pakar kesihatan berusaha meningkatkan keyakinan terhadap usaha vaksinasi negara itu dengan pakar virologi terkemuka Zhong Nanshan berkata akan mencapai kekebalan kelompok pada kadar 80 peratus kemungkinan hujung tahun ini.

Vaksin China dikatakan mempunyai keberkesanan hampir 60 peratus terhadap Delta, dengan antibodi meningkat apabila disuntik dengan suntikan penggalak, tambahnya.

Pada Sabtu, hampir 1.94 bilion dos vaksin telah diberikan, walaupun jumlah orang yang telah diberi vaksin tidak jelas.

Pegawai menggunakan data besar untuk “mengenal pasti kawasan risiko dengan cepat”, mengasingkan kumpulan berisiko tinggi di zon terpusat, dan berkongsi maklumat dengan cepat antara wilayah, kata Gao Guangming dari Suruhanjaya Kesihatan Nasional kepada sidang media baru-baru ini. – AFP, 23 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen