Saman masih perlu dibayar, kata Majlis Bandaraya Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

MBPP mengeluarkan kenyataan yang keputusan mahkamah ini tidak bermaksud semua saman terbatal.– Gambar The Malaysian Insight oleh Looi Sue-Chern, 18 Mei, 2017.

SELEPAS kalah dalam kes saman parkir di mahkamah hari ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengeluarkan kenyataan yang keputusan itu tidak bermaksud pemandu lain yang mempunyai saman sudah bebas.

Dalam kenyataan dikeluarkan tengahari tadi, majlis berkata keputusan mahkamah hari ini tidak mempengaruhi kes parkir haram yang lain.

“Setiap kes mempunyai fakta dan merit yang berbeza. Majlis juga akan merayu keputusan mahkamah hari ini,” kata MBPP.

Majlis itu juga menafikan khabar angin yang tular di media sosial yang mendakwa MBPP tidak mempunyai hak untuk mengeluarkan saman.

“Itu tidak benar. Semua saman yang dikeluarkan menurut Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) 2014 masih berkuatkuasa.

Majlis akan terus menguatkuasa dan mengambil tindakan kepada mereka yang gagal membayar saman parkir mereka,” kata MBPP lagi.

Majlis itu kalah dalam kes pagi ini apabila Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid memberikan penghakiman yang saman dikeluarkan kepada peguam dan bekas ahli dewan undangan negeri S. Raveentharan sebagai tidak sah.

Majistret itu berkata yang Raveentharan tidak dimaklumkan kesalahannya dan tidak dibenarkan untuk membuat perwakilan ketika saman itu dikeluarkan.

Raveentharan yang didakwa kerana parkir haram di Jalan Tun Syed Barakbah tiga tahun lalu dibebaskan tanpa perlu membela diri.

Peguamnnya Baljit Singh berkara keputusan anak guamnya itu mungkin memberi kesan kepada saman lain yang dikeluarkan majlis dengan cara yang sama. – 18 Mei, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen