Lebih 70% penduduk Negeri Sembilan lengkap vaksin, kata MB


Lebih 88% populasi dewasa menerima dos vaksin pertama di Negeri Sembilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2021.

SERAMAI 575,278 atau 70.6% daripada populasi penduduk Negeri Sembilan yang berusia 18 tahun ke atas sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat ini.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata setakat ini, seramai 721,697 individu berusia 18 tahun ke atas atau 88.6% juga sudah menerima dos pertama vaksin itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri memohon kepada pasukan petugas khas imunisasi Covid-19 (CITF) untuk meningkatkan bekalan dos diterima negeri itu, susulan bekalan vaksin yang diterima negeri itu berkurangan minggu ini berbanding biasa.

“Sama-samalah kita berdoa agar permohonan itu diluluskan bagi mewujudkan imuniti kelompok dengan kadar segera,” katanya dalam catatan di Facebook.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata seramai 2,363 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima manfaat daripada bantuan anak sekolah dengan keseluruhan dana berjumlah RM1.3 juta diperuntukkan tahun ini. – Bernama, 22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen