LIPUTAN vaksinasi yang rendah mungkin menyebabkan negeri seperti Kedah dan Sabah menjadi kawasan panas penularan virus Covid-19 sekali lagi, menurut pakar.
Mereka berkata kes semakin meningkat sekali lagi di negeri seperti Kedah, Sabah dan Johor namun proses vaksinasi di negeri itu terlalu lembab.
Mereka berkata negeri itu juga berdepan kekurangan bekalan vaksin.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Zainal Ariffin Omar berkata liputan vaksinasi yang rendah boleh menyebabkan negeri itu menjadi kawasan panas penularan virus.
“Banyak kes di Kedah, Sabah dan Johor dan liputan vaksinasi adalah rendah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Vaksinasi lengkap satu daripada elemen penting dalam era pandemik ini,” katanya.
Beliau menyedari sesetengah negeri berdepan kekurangan bekalan dos vaksin.
Dr Zainal turut menegaskan peningkatan kes adalah disebabkan jangkitan sporadik, kluster berkaitan kilang dan majlis sosial, varian Delta serta jangkitan dalam kalangan populasi yang divaksinasi.
Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) Sabah kekal sebagai negeri dengan liputan vaksinasi paling rendah iaitu hanya 29.3% populasi dewasanya atau 807,499 sudah melengkapkan dua dos semalam..
Kelantan di tangga kedua tercorot dengan 34.4% atau 425,868 orang, diikuti Kedah dan Johor kira-kira 36%.
Secara perbandingan, Labuan (90.6%), Sarawak (84.9%) dan Lembah Klang (81.3%) menduduki tiga tangga teratas daripada segi vaksinasi lengkap.
.jpg)
Pakar epidemiologi perubatan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman turut menggesa proses vaksinasi dipercepatkan di negeri yang ketinggalan itu.
“Saya harap program vaksinasi boleh dilaksanakan secepat mungkin di negeri terjejas untuk mengelak situasi sama yang dihadapi Selangor baru-baru ini,” katanya.
Jurucakap kerajaan negeri Sabah Masidi Manjun baru-baru ini berkata, jumlah kes Covid-19 di Sabah dijangka meningkat hinggalah lebih ramai penduduknya divaksinasi.
“Dalam situasi yang mana virus ini sudah berada dalam komuniti dan mudah merebak, kami berdepan kekangan masa untuk memberikan vaksin kepada setiap orang yang layak menerima vaksin pada kadar segera.
“Ini bermakna kes baharu akan terus menyaksikan jumlah besar hinggalah lebih ramai orang diberikan vaksin.
“Kes hanya mula menurun apabila kami berjaya memberi vaksin kepada populasi pada tahap yang ketara,” katanya sebelum ini.
Hujung tahun lalu, Sabah dan Kedah adalah kawasan penularan utama wabak susulan kes yang besar berbanding negeri lain. Peningkatan di Sabah juga disebabkan pilihan raya negeri manakala kluster Sivagangga dan Tawar mencetus peningkatan di Kedah.
Ketika Lembah Klang menjadi kawasan panas virus dengan purata 6,000-7,000 kes setiap hari sejak beberapa minggu lalu, beberapa negeri turut melaporkan kes melebihi 1,000 sehari akhir-akhir ini.
Bagaimanapun, sesetengah negeri ini mempunyai liputan vaksinasi yang rendah berbanding negeri lain.
Hingga 20 Ogos, purata kes Covid-19 harian di Sabah selama seminggu adalah 2,140, kedua tertinggi di negara ini di belakang Selangor yang mencatat 6,626 kes.
Kedah pula melaporkan purata 1,824 kes, Kelantan 1,214 manakala Johor 1,454. – 23 Ogos, 2021.
Berita penuh di sini.
Komen