Pembelian 6 juta dos vaksin bukti komitmen PM, kata KKM


Sinovac antara vaksin yang diberikan kepada penduduk negara ini. – Gambar AFP, 22 Ogos, 2021.

PEMBELIAN tambahan 6 juta dos vaksin Covid-19 membuktikan komitmen dan keprihatinan berterusan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam memastikan kerajaan mencari jalan keluar menangani pandemik itu.

Menyambut baik pengumuman perdana menteri itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Mohd Shafiq Abdullah berkata pembelian dos vaksin itu akan memperluas liputan program vaksinasi sedia ada kepada segenap lapisan masyarakat.

“Dari segi pecahan keseluruhan, sehingga hari ini, sejumlah 53.4 peratus individu dewasa lengkap divaksinasi dengan dua dos. Seluruh keluarga KKM akan terus memberikan komitmen dan fokus terhadap tanggungjawab bagi menangani pandemik ini dengan jayanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi ucapan sulung sebagai perdana menteri hari ini, Ismail mengumumkan pembelian tambahan 6 juta dos vaksin Covid-19 yang akan diterima menjelang awal bulan depan.

Beliau berkata, usaha itu untuk memangkin kejayaan pengurangan kes harian secara konsisten seperti di Labuan yang sudah mencapai 90% imuniti kelompok dewasa. – Bernama, 22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen