Pengusaha di pulau peranginan Terengganu rela operasi September


Diyana Ibrahim

Aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian dan pulau peranginan Terengganu terjejas kerana Covid-19. – Gambar Facebook, 23 Ogos, 2021.

PENGUSAHA pelancongan di pulau peranginan Terengganu hanya bersedia untuk beroperasi pada September biarpun sudah dibenarkan berbuat demikian dalam fasa kedua Pelan Pemulihan Negara.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bersedia beroperasi pada musim tengkujuh memandangkan mereka hanya akan menerima dos lengkap vaksin Covid-19 pada hujung Ogos ini.

Pengusaha ini menjelaskan, mereka tidak menjangka pulangan tinggi apabila pulau peranginan berkenaan dapat dibuka bulan depan kerana hanya akan dapat menerima pelanggan tempatan.

Seorang pengusaha, Sany Ismail berkata mereka lebih rela menangguhkan operasi kerana tetap tidak akan meraih untung jika hanya bergantung kepada pelancongan domestik.

Pemilik Alunan Resort di Pulau Perhentian itu berkata demikian bagi mengulas pengumuman kerajaan membenarkan kegiatan pelancongan rentas daerah di negeri dalam Fasa 2 PPN.

Mereka mengalu-alukan kelonggaran itu namun menjelaskan pelancongan Pulau Perhentian lebih bergantung kepada pelancong luar kerana lokasi yang jauh, katanya.

“Di Pulau Perhentian, jumlah kedatangan pelancongan domestik cuma lebih kurang 10% dan kebanyakan yang datang pun balik hari. Sangat jarang untuk mereka bermalam di resort atau hotel.”

Oleh itu mereka amat berharap rentas negeri dibenarkan pada September untuk memulihkan sektor itu yang terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dikuatkuasa semula pada Jun.

Format kawalan itu diubah sebulan kemudian kepada PPN berperingkat dengan kelonggaran berperingkat dari Fasa 1 hingga Fasa 3.

Kemudahan rentas negeri untuk melancong kini hanya dibenarkan kepada individu menerima vaksin lengkap di negeri dalam Fasa 2 PPN.

Kerajaan pada minggu lalu mengumumkan Pulau Langkawi, Pangkor, Redang, Tioman dan Perhentian antara pulau peranginan yang dijangka dapat dibuka awal September.

Ia dapat dilaksana apabila warga pulau berkenaan dapat mencapai imuniti kelompok pada hujung bulan, katanya.

Mengulas perkara itu, Sany berkata kedudukan Pulau Perhentian yang hampir dengan sempadan Kelantan itu juga menghalang kunjungan pelancong di Terengganu pada waktu ini.

“Sebab itu kita tunggu 26 Ogos (apabila pengusaha dapat vaksin lengkap) sebab kalau kita buka sekarang kita tak rasa pelancong akan pergi ke Pulau Perhentian.

“Ia akan jadi pilihan terakhir mereka kerana perlu melalui tempoh dua jam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Besut berlainan dengan Pulau Redang dan Pulau Kapas yang lagi dekat,” katanya.

Ketika ditanya, Sany berkata kawalan pergerakan bagi mengekang pandemik Covid-19 itu bagaimanapun tidak mematikan sektor pelancongan sama sekali.

Tinjauan ke Pulau Redang bulan lalu mendapati pengusaha pusat peranginan menghadapi pelbagai kesukaran sehingga terpaksa bertani demi kelangsungan hidup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2021.

“Apa yang kami jangkakan, biarpun kesan pandemik sangat teruk nampak melumpuhkan sektor pelancongan, namun sebenarnya industri ini mempunyai daya tahan yang sangat tinggi.

“Sektor pelancongan akan terus hidup,” katanya.

Namun untuk merancakkannya semula, pengusaha di Pulau Perhentian amat memerlukan sokongan bagi bekalan elektrik 24 jam, tegasnya.

“Masalah ini agak mengecewakan di mana Pulau Perhentian diiktiraf antara pulau tercantik di dunia tapi kita ada masalah bekalan elektrik.

“Bagi pengusaha, ia sangat membebankan kerana kita perlu kos tinggi menggunakan diesel untuk bekalan elektrik,” katanya.

Isu sama dibangkitkan Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah yang berkata pihaknya memperjuangkan isu itu lebih 25 tahun.

Masalah itu malah lebih besar daripada ancaman musim tengkujuh kerana menghalang kemajuan pulau itu, katanya.

“Tiada bekalan elektrik 24 jam sebenarnya menjadi halangan untuk pulau ini maju dalam 40% lagi yang diperlukan. Kalau nak kata musim tengkujuh, ia bukan lagi menjadi isu kepada kita.

“Semua pemain industri bersetuju untuk membuka operasi mereka pada musim tengkujuh. Tak jadi bahaya macam dulu sebab benteng pemecah ombah sudah dibina di muara Sungai Besut.

“Masalahnya cuma nak dapatkan bekalan elektrik 24 jam. Kita dah usulkan isu ini banyak kali kepada kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

“Dari segi kerajaan negeri tak ada masalah cuma kerajaan pusatlah kita tak tahu apa sebabnya tak boleh nak bekalkan elektrik,” kata Abdul Aziz.

Ketika ini bekalan elektrik selama 24 jam hanya disediakan untuk kegunaan lebih 2,000 penduduk kampung di Pulau Perhentian Kecil.

Mengulas mengenai pembukaan semula aktiviti melancong, Abdul Aziz berkata pengusaha di pulau itu sepakat untuk beroperasi selepas menerima vaksin lengkap.

Beliau berkata persatuannya juga akan mencadangkan untuk mengenakan peraturan tertentu kepada penggiat pelancongan yang masih tidak menerima dos vaksin Covid-19.

Beliau berkata ketika ini sebanyak 70 resort, chalet dan rumah inap desa ada di Pulau Perhentian dan mereka bersedia untuk membuka operasi semasa musim tengkujuh.

Di Pulau Redang, kumpulan pengusaha resort di pulau itu juga sepakat untuk mula beroperasi pada September.

Setiausaha Persatuan Resort Pulau Redang Lim You Jing berkata ia untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan virus bukan sahaja kepada pengusaha malah di kalangan pelancong.

“Kita tidak mahu timbul tragedi kalau buka tergesa-gesa, seeloknya biar lengkap dulu dua dos vaksin,” katanya.

Beliau berkata seramai 10 pengusaha resort di Pulau Redang turut bersetuju untuk membuka operasi semasa musim tengkujuh.

“Kita mahu memberitahu orang ramai mereka sebenarnya boleh datang semasa musim tengkujuh ia tidaklah berbahaya seperti yang mereka fikir sebelum ini.

“Dan kita juga sedang merangka pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan pelancong semasa musim tengkujuh sebagai tarikan untuk mereka datang ke pulau ini,” katanya.

Tinjauan The Malaysian Insight ke pulau itu bulan lalu mendapati pengusaha menghadapi pelbagai kesukaran sehingga terpaksa bertani demi kelangsungan hidup. – 23 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen