Ismail mahu perkasa strategi tangani Covid-19


Ismail berdepan cabaran besar menangani pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan akan meneruskan dan memperkasa strategi menangani pandemik Covid-19 yang dirangka kerajaan sebelum ini dengan mengambil kira pandangan pakar kesihatan awam negara.

Beliau berkata, setiap intervensi dan usaha kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 akan dilakukan secara lebih komprehensif menerusi kerjasama strategik rentas kerajaan dengan pembabitan pihak berkepentingan, agensi kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan sistem kesihatan negara kembali stabil.

Ismail berkata, melalui usaha berterusan kerajaan sebelum ini, kadar pencapaian vaksinasi di Malaysia adalah antara yang terpantas di dunia dengan kadar vaksinasi konsisten yang tinggi melebihi 500,000 dos sehari.

“Bersandarkan data ini, kerajaan akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok.

“Demi mencapai sasaran itu lebih awal, kerajaan akan memastikan inisiatif dan strategi dalam meningkatkan liputan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) yang sedang berlangsung semakin diperhebat,” katanya dalam ucapan sulung beliau sebagai perdana menteri, petang ini.

Sementara itu, perdana menteri juga mengumumkan pembelian tambahan 6 juta dos vaksin Covid-19 yang akan diterima menjelang awal bulan depan, untuk memangkin kejayaan pengurangan kes harian seperti di Labuan yang sudah mencapai 90 peratus imuniti kelompok dewasa.

Beliau berkata, berdasarkan data terkini pada Jumaat, statistik kes harian di Labuan menurun secara konsisten kepada satu digit selama tujuh hari berturut-turut.

“Ini bukanlah bermakna kita akan bebas sepenuhnya daripada ancaman Covid-19, tetapi apabila kita mencapai imuniti kelompok, virus ini tidak lagi menjadi ancaman seperti mana yang ditakuti sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail merakam penghargaan kepada rakyat Malaysia yang memberi kerjasama penuh dalam pengambilan vaksin sambil menyeru mereka yang masih belum mendaftar untuk berbuat demikian.

“Dengan itu, kita dapat membantu dan menghargai pengorbanan frontliners (barisan hadapan) yang masih bertungkus-lumus bagi memastikan seluruh rakyat dapat segera menjalani kehidupan dalam norma baharu,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan optimis melalui kejayaan program vaksinasi ini kelak, ramai yang boleh kembali menziarahi ibu bapa di kampung halaman, meraikan perayaan, melancong dalam negara serta kembali ke sekolah. – Bernama, 22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen