China capai imuniti kelompok hujung 2021


Vaksin Sinovac dapat mengurangkan 65.9% jangkitan Covid-19 di Chile, menurut kajian. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2021.

CHINA dijangka mencapai imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini apabila lebih 80% populasinya lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19, kata pakar epidemiologi, Zhong Nanshan.

Beliau berkata, kajian ke atas kluster baharu di Guangzhou pada Mei menunjukkan vaksin mampu memberikan perlindungan sebanyak 60% terhadap varian Delta, manakala 100% berkesan dalam menghalang jangkitan teruk.

Katanya, tahap antibodi akan meningkat lebih 10 kali ganda apabila dos ketiga diberikan selepas enam bulan menerima dos kedua.

Beliau yang juga ahli akademi kejuruteraan China dijemput berkongsi hasil penyelidikannya mengenai vaksin pada satu seminar kesihatan secara maya, sempena ekspo China-Arab kelima di wilayah Ningxia, pada Jumaat.

Zhong turut menyentuh mengenai pengalaman Chile menggunakan vaksin Sinovac, yang terkandung dalam jurnal The New England Journal of Medicine (NEJM) diterbitkan pada Julai.

Data diperoleh daripada 10 juta warga Chile berusia 16 tahun ke atas yang lengkap divaksin menunjukkan, Sinovac dapat mengurangkan 65.9% jangkitan Covid-19, menurunkan kemasukan ke hospital (87.5%), mengurangkan kemasukan ke unit rawatan rapi (90%) dan mengurangkan risiko kematian (86%).

Selain itu, menurut kajian diterbitkan dalam jurnal The Lancet, Sinovac yang digunakan di Turki mampu memberikan perlindungan sebanyak 83.5% dan tiada sebarang kesan sampingan serius atau kes kematian membabitkan suntikan vaksin itu dilaporkan. – Bernama, 22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen