Guru tolak vaksin mungkin termakan dakyah, kata petugas kesihatan


Hampir 11,000 daripada keseluruhan 421,559 guru itu disyaki dipengaruhi propaganda antivaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2021.

PETUGAS kesihatan mengesyaki hampir 11,000 guru termakan dakyah dan berita palsu daripada penghasut antivaksin untuk menolak vaksin Covid-19.

Pegawai Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia Mohd Dziehan Mustapa menyebut ia melibatkan 2.6% yang belum divaksinasi atau belum mendaftar dari keseluruhan 421,559 guru.

Jelasnya, faktor mempengaruhi guru tersebut dikesan beliau dan petugas perkhidmatan farmasi melalui perjumpaan dalam sesi penerangan kepada para pendidik berkenaan.

Menurutnya, pandangan disuarakan guru tersebut serupa seperti propaganda antivaksin yang dikesan di media sosial.

“Terdapat segelintir golongan pendidikan memang menolak untuk menerima suntikan vaksin.

“Rata-rata saya melihat isu atau pertanyaan dibawa oleh mereka sama seperti dalam kumpulan toksin di Telegram dan Facebook yang menyebar berita tidak benar dan menghasut orang ramai menolak vaksin.

“Maka mungkin guru-guru ini telah termakan racun golongan penolak vaksin ini,” kata Dziehan dalam kenyataannya.

Beliau kecewa kerana golongan pendidik tersebut menutup pemikiran ke atas fakta sains berkaitan vaksin.

“Selama hari ini saya berfikiran golongan pendidik adalah golongan yang rasional dan sentiasa menerima fakta dan sains serta itulah yang mereka ajar atau sampaikan kepada anak murid.

“Bukan teori konspirasi atau isu-isu andaian semasa-mata,” katanya.

Menurutnya, guru yang menolak vaksin tersebut berisiko lebih tinggi untuk dijangkiti Covid-19 dan akan merebak lebih luas dalam komuniti.

“Golongan pendidik ini (berpendapat) orang sekeliling akan menyatakan mereka bakal membawa jangkitan wabak ini kepada anak-anak murid.

“Tapi sebenarnya kami golongan kesihatan lebih risau mereka ini dijangkiti oleh anak-anak murid,” katanya lagi.

Jelasnya, guru penolak vaksin itu perlu sedar jangkitan Covid-19 lebih parah kini menyerang golongan yang tidak menerima suntikan vaksin.

“Adakah guru-guru ini sedar dan tahu apa akan jadi apabila mereka bakal mendapat jangkitan teruk virus ini?”

Angka disiarkan kerajaan semalam menunjukkan 20 kes Kategori 5 yang kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan terdiri daripada penerima vaksin lengkap.

Seramai 164 orang lagi yang kritikal tidak menerima vaksin.

Bagi pesakit Kategori 4 yang mengalami radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen, 14 kes lengkap divaksin berbanding 67 yang tidak menerima atau tidak lengkap vaksin.

Pesakit Kategori 3 yang mengalami radang paru-paru terdiri daripada 29 kes melibatkan penerima vaksin lengkap dan 178 tanpa vaksin atau tidak lengkap vaksin.

Selain 469 kes dalam tiga kategori itu, 21,793 terdiri dariapda pesakit Kategori 1 dan 2, daripada keseluruhan jumlah kes baharu Covid-19 dalam negara semalam.

Bekas menteri yang menyelaras pemberian vaksin Khairy Jamaluddin pada 28 Julai lalu memberitahu Dewan Rakyat, sekolah diarah mendekati golongan itu untuk mendapatkan vaksin.

Langkah itu bagi mengelak jangkitan selepas sekolah dibuka, katanya ketika menerangkan program  vaksinasi bagi golongan pendidik.

Seterusnya hasil tekanan dari kumpulan persatuan ibu bapa dan guru, kerajaan pada 13 Ogos mengumumkan pelajar sekolah berusia 12 hingga 17 tahun akan diberikan vaksin.

Kumpulan ibu bapa dan guru kemudian menekan kerajaan lagi agar menangguhkan sesi sekolah secara bersemuka yang sepatutnya bermula pada September kerana kadar jangkitan masih tinggi.

Sehingga semalam sebanyak 54.3% daripada keseluruhan populasi dewasa Malaysia menerima vaksin lengkap, manakala77.4% sudahpun menerima dos pertama. – 22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen