Buktikan sokongan di Parlimen secepat mungkin, kata Hanipa kepada PM


Ismail Sabri Yaakob adalah perdana menteri Malaysia ketiga selepas pilihan raya umum 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Ogos, 2021.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob yang baharu dilantik perlu membuktikan sokongannya di Dewan Rakyat secepat mungkin, kata Hanipa Maidin.

Ahli Parlimen Sepang dari Amanah itu berkata beliau tidak ada masalah Ismail menjawat jawatan tertinggi pentadbiran itu, tetapi beliau perlu membuktikan sokongan di Parlimen.

Katanya, kejayaan pembuktian sokongan itu akan mengesahkan Ismail adalah perdana menteri yang sah.

“Meskipun saya agak kritikal sebelum pelantikan itu atas dasar saya meragui sokongan yang beliau perolehi khususnya dari Bersatu itu adalah sah kerana kenyataan media Presiden Bersatu yang jelas hanya memberikan sokongan bersyarat dan tidak muktamad dan ia melanggar arahan jelas Yang Dipertuan Agong, namun saya masih boleh menerimanya buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail, ahli Parlimen Bera dan naib presiden Umno mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia di Istana Negara, tengahari semalam.

Pelantikan itu dibuat selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada Isnin selepas hilang sokongan tipis di Parlimen.

Ismail, 61, adalah perdana menteri ketiga Malaysia selepas Pilihan Raya Umum 2018.

Beliau juga adalah perdana menteri pertama lahir selepas Kemerdekaan 1957.

Hanipa berkata pembentangan usul percaya di Parlimen perlu dibuat selaras dengan titah Yang Di Pertuan Agong.

“Jika ada suara-suara ‘nakal’ yang cuba berhujah kononnya kini tidak wajib dibuat usul undi percaya di Dewan Rakyat, pada hemat saya, kenyataan sebegitu amat tidak wajar, mengelirukan dan boleh dengan sewajarnya ditafsirkan seperti tidak menghormati titah Agong tersebut sedangkan Agong secara jelas mengkehendaki pelantikan itu diabsahkan melalui usul undi percaya di Dewan Rakyat.

“Justeru itu,bagi saya usul undi percaya di Dewan Rakyat seperti mana titah Agong, adalah wajib dan mesti dibawa oleh pihak kerajaan di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen ini dan ia perlu menjadi agenda yang perlu disegerakan,” katanya. – 22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen