Utamakan rakyat dan kawal pandemik, kata Najib kepada Ismail Sabri


Kerajaan baharu perlu utamakan rakyat dan kawal pandemik, kata Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2021.

KERAJAAN baharu perlu mengutamakan rakyat dan mencapai matlamatnya untuk mengawal pandemik Covid-19, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Katanya, jumlah kematian dan penderitaan ramai rakyat Malaysia kini tidak lagi tertanggung dan negara tidak lagi mampu melihat peningkatan kes jangkitan saban hari.

“Rakyat didahulukan, bukan kroni atau towkay kilang. Pencapaian diutamakan, bukan berulang kali ratib ‘kita sudah berusaha yang terbaik’ tapi berkali-kali gagal dan gagal. Atau berulang kali, kita tak gagal cuma belum berjaya.

“Ini bukan masa untuk ‘cuba’ atau ‘usaha’ lagi. Kita dah ada pengalaman serta paling penting data! Gunakan data dan sains,” katanya pada catatan di akaun Facebooknya.

Tambah ahli Parlimen Pekan itu lagi, sudah 102 hari sejak sekatan pergerakan penuh dikuatkuasa pada 1 Jun dan 68 hari sejak bermulanya Pelan Pemulihan Negara, tetapi Malaysia terus merekodkan peningkatan kes harian.

“Tapi, kita masih pecah rekod tertinggi kes baharu hampir tiap-tiap hari. Kita masih top 10 kes baharu Covid dalam dunia (tidak ambil kira saiz penduduk). Kita masih antara paling tinggi dalam dunia bagi kadar kes baharu dan kematian baharu Covid (dari segi saiz penduduk).

“Kes aktif Covid hari ini cecah 260 ribu orang. Kita cecah 1 juta kes Covid pada 25 Julai. Tak sampai sebulan, kita lepasi 1.5 juta kes semalam.

“Unjuran ekonomi kita telah dipotong ke sifar oleh syarikat penarafan Fitch dan dipotong separuh oleh kerajaan dari 7% ke 3% hingga 4%. Pasaran saham kita masih paling corot di Asia Pasifik dan kedua paling corot dalam dunia.

“Ini adalah fakta dan realiti. Bukan rekaan. Ini data,” katanya.

Semalam, Malaysia merekodkan 22,262 kes baharu dengan 223 kematian.

Tambahnya, walaupun selepas kerajaan melonggarakan standard operasi piawai (SOP) untuk membenarkan aktiviti makan di restoran, pelancongan domestik dan pembukaan semula ekonomi di kedai gunting rambut dan cuci kereta, rakyat masih lagi takut hendak keluar.

“Keadaan ini tidak boleh berterusan. Untuk pulihkan ekonomi, kita kena kawal Covid. Demi kelangsungan hidup, kita kena bantu rakyat,” katanya.

Semalam juga, Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia, menjadikan Umno kembali berkuasa.

Pelantikan Ismail berlaku selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan selepas hilang sokongan tipis di Parlimen. – 22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen