54.3% populasi dewasa di Malaysia sudah lengkap dua dos vaksin, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), hari ini.
Data terbaru itu adalah petunjuk yang Putrajaya berjaya mencapai sasaran vaksinasi 50% populasi dewasa negara ini menjelang Hari Merdeka.
Jawatankuasa berkata 469,690 dos disuntik pada 21 Ogos dengan 309,898 adalah dos kedua dan 159,792 adalah dos pertama.
Sementara itu, 18.12 juta orang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, dan 12.71 juta atau 77.4% populasi dewasa menerima satu dos.
Labuan mempunyai kadar vaksinasi tertinggi dengan 90.6% atau 62,071 populasi dewasanya sudah lengkap dua dos vaksin.
Lembah Klang pula menyaksikan jumlah dos tertinggi disuntik dengan 6.64 juta orang menerima satu dos dan 5.01 juta lagi sudah lengkap dua dos vaksin.
Secara keseluruhannya, 30.84 juta dos vaksin sudah disuntik sejak program vaksinasi bermula pada 24 Februari lalu.
Penduduk di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sudah lengkap dua dos vaksin kini diberikan beberapa kelonggaran termasuk kebenaran makan di restoran.
Manakala bagi yang sudah lengkap dua dos di negeri Fasa 2 dan ke atas juga boleh melakukan perjalanan rentas daerah dan melancong dalam negeri masing-masing. – 22 Ogos, 2021.
Komen