Warga emas isi masa berkebun, masak, tonton TV sepanjang epidemik


Walaupun sudah divaksin sepenuhnya, kebanyakan warga emas takut keluar rumah dan hanya habiskan masa di rumah dengan aktiviti rutin selain berhubung dan bertanya khabar rakan dan saudara. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2021.

BERKEBUN, memasak, menonton televisyen dan beli barang runcit antara aktiviti yang masih boleh dilakukan warga emas yang terperap di rumah sepanjang epidemik Covid-19.

Mereka berkata walaupun sudah divaksin sepenuhnya, mereka takut untuk keluar rumah bagi tempoh masa lama berikutan angka jangkitan koronavirus masih tinggi.

Subramaniam, 62, dan isterinya Umadevi, 57, berkata mereka jarang keluar untuk membeli barangan kerana takut dengan jangkitan kes Covid-19 yang tinggi di Lembah Klang.

“Selain buat kerja rumah seperti membasuh dan memasak, kami habiskan masa menonton video, berkebun dan bertanya khabar dengan rakan dan keluarga menerusi telefon atau panggilan video.

“Jika kami keluar ke kedai, kami pakai pelitup muka,” kata mereka.

Pasangan yang tinggal di Jalan Ipoh bersama dua anak lelaki itu masih bekerja sepenuh masa, walaupun dari rumah.

Anak sulungnya, Jaya, 31, berkata beliau bertanggungjawab keluar rumah dan membeli barangan keperluan, jadi dengan cara itu dapat mengehadkan masa untuk ibu bapanya keluar rumah.

“Sebenarnya saya risau ke mana mereka pegi kerana walaupun mereka pakai pelitup muka, masih susah untuk suruh mereka guna alat pembasmi kuman dan kekalkan penjarakan sosial dengan orang lain.

“Mereka simpan sanitiser di dalam beg dan kereta, tetapi tidak menggunakannya,” katanya.

Jaya berkata beliau bersyukur ibu bapanya dalam keadaan sihat dan tidak memerlukan pemeriksaan berkala ke hospital.

Rakyat Malaysia dikenakan perintah sekatan pergerakan dan perlu berada di rumah selama lebih 15 bulan sejak penguatkuasaan sekatan yang pertama pada Mac tahun lalu, bertujuan mengekang penularan koronavirus.

Sejak itu, kerajaan mengenakan dua lagi perintah kawalan pergerakan (PKP), satu pada Januari tahun ini dan satu lagi pada Julai. Darurat juga dilaksanakan dari 11 Januari hingga 1 Ogos.

Walaupun beberapa PKP dikuatkuasakan, kes Covid-19 menunjukkan trend meningkat, melaporkan 20,780 kes baharu sejak lebih tiga hari lalu. – 22 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen