PERDANA Menteri Najib Razak menggesa Barisan Nasional (BN) mengambil semangat pasukan bola sepak Liverpool, “You’ll Never Walk Alone” yang menitikberatkan kesatuan dan persahabatan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Menurut Najib, BN dan rakannya dalam Sahabat BN patut bekerja memastikan mereka terus diterima rakyat dan tidak mementingkan diri sendiri semata.
“Saya juga tertarik perkataan sahabat. Kita jangan mementingkan kedudukan dan pangkat. Jangan mementingkan material dan pangkat. Jangan fikir apa yang akan kita dapat. Kita mesti memupuk ramai sahabat.
“You will never walk alone. Meskipun itu tema Liverpool, tak apa. Kita pakai. Bila kita jalankan kerja atas nama Barisan Nasional, kita jangan rasa kesunyian sebab kita banyak sahabat,” katanya merasmikan rangkaian Sahabat Puteri BN di Kuala Lumpur, hari ini.
Najib diketahui penyokong tegar pasukan Manchester United - musuh ketat Liverpool sejak berpuluh tahun dalam liga bolasepak paling berprestij di dunia itu.
Beliau yang juga pengerusi BN berkata sekiranya persahabatan dan kesatuan ini terus dipupuk, kerja yang mereka buat akan lebih menyeronokkan dan tidak membawa tekanan.
“Kerja politik BN bukan beban, bukan satu yang bawa stress (tekanan). Kalau kita ini punya banyak sahabat dan bantu membantu satu sama lain akan timbul suasana keseronokan kita bekerja.
“It’s a joy to work (Gembira bekerja bersama). Sebagaimana ‘it’s a joy’ untuk kita berkumpul hari ini,” kata beliau disambut tepukan kira-kira dua ribu sahabat Puteri BN parti-parti gabungannya itu.
Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Shamsuddin sementara itu berkata walaupun sayap terbaru BN itu masih tiada dalam perlembagaan parti, mereka komited dan telahpun mula bekerja dan turun padang betemu masyarakat untuk memastikan kelangsungan BN secara satu pasukan.
“Bukannya hari ini saja, sejak saya jadi ketua puteri kita perkukuhkan ikatan sepasukan Puteri Umno. Kita pergi pilihan raya kecil dan lakukan ‘engagement’ (pertemuan). Sebab itu hari kita gembira, saya yakin dan percaya keterujaan di atas nama BN ini.”
Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata pihaknya yakin mereka mampu mematahkan serangan pembangkang dalam PRU akan datang.
“Saya yakin dan percaya dengan pelbagai latar belakang kami, dengan kehebatan sokongan bukan saja menangkis tapi memberitahu kepada sahabat lain turut sama mendidik masyarakat bukan saja dengar, baca dan lihat jadi landasan kepada mereka,” kata beliau. – 20 Januari, 2018.
Komen