PELANTIKAN Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri bakal menamatkan pergolakan politik dan menyatupadukan semua pihak, kata Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainuddin.
“Parti Perikatan Nasional percaya bahawa pelantikan beliau dapat menghentikan kemelut politik sebelum ini dan menyatupadukan semua pihak untuk kembali fokus kepada agenda membela kebajikan rakyat terutamanya dalam pembentukan sebuah kerajaan yang stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Hamzah itu muncul selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri kesembilan petang tadi.
Semua ahli Parlimen PN dari Bersatu, PAS dan Star berdiri teguh bersama perdana menteri kesembilan, katanya.
Hamzah berkata mereka yakin Ismail Sabri boleh memastikan kesinambungan dasar dan komitmen kerajaan PN terutama dalam memulihkan negara daripada ancaman Covid-19.
Bekas Menteri Dalam Negeri itu turut mengucapkan terima kasih kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin atas kepimpinannya.
Hamzah berkata sifat prihatin Muhyiddin tergambar melalui program bantuan rakyat dan pakej rangsangan ekonomi yang diluluskan olehnya, yang akan selamanya tercatat dalam sejarah Malaysia.
Petang tadi, Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara selepas mendapat sokongan 114 ahli Parlimen. – 21 Ogos, 2021.
Komen