PRESIDEN Iran Ebrahim Raisi pada Sabtu berkata kerajaannya akan mengutamakan langkah mengekang Covid-19 dengan mempercepat vaksinasi dan dalam masa sama memulihkan ekonomi, ketika beliau mempertahankan kabinetnya di Parlimen.
Parlimen Iran bersidang dengan hanya pemimpin lelaki sahaja, kebanyakannya konservatif pada pagi menjelang undi percaya yang diharap selesai minggu ini.
“Keutamaan pertama kerajaan adalah mengendalikan koronavirus, memperbaiki keadaan kesihatan dan melaksanakan vaksinasi yang meluas,” kata Raisi.
“Pemulihan ekonomi dan mata pencarian jadi keutamaan kedua,” tambahnya, berkata jemaah kabinetnya adalah bagi mewujudkan “keadilan dan kemajuan”.
Sejak penghujung Jun, Iran telah menyaksikan apa yang disebut pegawai sebagai gelombang kelima jangkitan Covid-19, terburuk di republik Islam itu, menyalahkan varian Delta.
Jangkitan dan kematian setiap hari mencapai tahap tertinggi beberapa kali bulan ini, menjadikan jumlah kes meningkat kepada 4.5 juta dan kematian kini lebih 100,000.
Iran, yang memerangi pandemik Covid-19 paling dahsyat di Timur Tengah, melancarkan program vaksinasi pada Februari namun bergerak perlahan daripada yang diharapkan pihak berkuasa. – AFP, 21 Ogos, 2021.
Komen