SASTERAWAN Indonesia Budi Darma, yang terkenal dengan kumpulan cerpen Orang-Orang Bloomington dan novel Olenka, meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 awal pagi ini, lapor media di republik itu.
Umurnya 84 tahun.
Anak lelakinya Hananto Widodo berkata Budi Darma meninggal dunia 7 pagi waktu Malaysia di Hospital Islam Jalan Ahmad Yani di Surabaya.
“Bapak terkena Covid-9 dari kluster keluarga,” katanya, seperti dipetik agensi berita Antara.
Budi Darma yang tinggal bersama isteri dan Hananto serta seorang pembantu rumah disahkan positif Covid-19 sejak 28 Julai.
Beliau sebelum itu dirawat di sebuah hospital lain kerana radang paru-paru dan ketika itu belum lagi dikesan dijangkiti Covid-19, kata Hananto.
Jenazah Budi Darma dikebumikan di tanah perkuburan umum Keputih Surabaya dengan protokol Covid-19 pagi tadi.
Ketua Fakulti Bahasa dan Seni Universiti Negeri Surabaya (UNESA) itu diingati kerana cerpen dan novelnya yang kuat mempengaruhi beberapa penulis generasi selepasnya sampai sekarang, selain esei dan puisi.
Tujuh cerpen dalam Orang-Orang Bloomington ditulis semasa beliau menyambung pengajian sarjana sastera di Indiana, Amerika Syarikat pada hujung 1970-an.
Terjemahannya ke Bahasa Inggeris akan terbit dalam siri Penguin Classics pada April tahun depan dengan judul The People from Bloomington.
Novel Olenka yang terbit pada 1983, juga kesan pengalaman semasa tinggal dan belajar di Bloomington, menang beberapa hadiah utama sastera anjuran Dewan Kesenian Jakarta serta SEA Write Award.
Beliau juga pernah terlibat membimbing penulis Malaysia melalui program Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) pada 1998 dan 1999. – 21 Ogos, 2021.
Komen