BEKAS perdana menteri Muhyiddin Yassin berasa lega kerana beban tanggungjawab yang dipikul di jawatan tersebut kini berakhir.
Ia dinyatakan kepada para pegawainya di Pejabat Perdana Menteri di saat akhir sebelum beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk meletak jawatan.
Muhyiddin berkata, itulah juga yang diberitahu kepada isterinya apabila beliau ditanya mengenai perasaannya selepas tidak lagi dapat meneruskan jawatan sebagai perdana menteri.
“Saya kata saya rasa lega beban tanggugjawab ini tiada lagi selepas hari ini. Bila letak atas bahu ini, macam saudara-saudara juga ada amanah, itu berat.
“Hilang jawatan PM cuma duniawi, saya tak boleh bawa ke mana pun,” katanya dalam ucapan yang dirakam dalam video di platform media sosialnya.
Beliau yakin sudah melakukan sehabis baik sebagai perdana menteri dan akan dapat kembali sebagai perdana menteri sekiranya diberi peluang semula.
Muhyiddin berkata demikian dengan mengambil contoh perjalanan kerjaya politiknya selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 2016 oleh perdana menteri waktu itu, Najib Razak.
“Kalaulah kerusi ini boleh bercakap. Di situ Datuk Najib, di sini saya. Tak sampai setengah jam, dia tendang saya keluar.
“Tapi tak tahu sejarah berulang semula, saya datang ke pejabat ini. Jadi, ini kehidupan. Apa yang naik, mungkin perlu turun.
“Apa yang turun sekarang, insya Allah saya akan kembali semula,” katanya yang yakin rekod perkhidmatannya bersih sepanjang perkhidmatan selama 17 bulan itu.
Beliau dipecat waktu itu atas alasan melanggar displin parti kerana mengkritik skandal 1Malaysia Development Bhd yang mengaitkan Najib.
Tambah Muhyiddin, beliau juga lega kerana dapat melakukan perkara yang betul mengikut undang-undang dan menolak rasuah sewaktu perkhidmatannya.
“Saya buat yang betul, bukan sebab saya rasa betul tapi sebab Allah kata betul. Anda tidak buat apa yang anda rasa betul, anda buat apa yang betul.
“Soal rasuah tak boleh. Bukan kerana tak boleh kerana tak boleh, sebab hukumnya haram. Orang mencuri duit, hukumnya salah. Rompak begitu juga. tak boleh.
“Sebab itu saya tegak berdiri istiqamah atas prinsip, undang-undang dan hukum,” katanya.
Beliau juga memberi contoh, sebaik dipecat oleh Najib, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk mengemaskan pejabat perdana menteri.
“Ada orang lain ambil masa sampai satu hari untuk kosongkan pejabat. Saya ambil satu buku sahaja, novel yang diberi oleh kawan. Saya tiada apa-apa rahsia di meja saya.
“Surat-surat rahsia tak ada. Sebab saya fikir saya tak perlu lakukan perkara itu… Sebab kami tahu kami tidak buat apa-apa kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, pentadbiran beliau boleh dianggap berjaya menangani Covid-19 walau dalam tempoh perkhidmatan yang amat singkat.
“Dalam tempoh sependek itu, mungkin perdana menteri paling pendek memegang jawatan, saya kira saya telah buat apa yang saya fikir diperlukan.”
Menurutnya beliau berjaya melakukan tindakan untuk menyelamatkan nyawa rakyat jelata dan memastikan mereka mendapat makanan.
“Alhamdulillah di penghujung perjalanan hari ini, kita lihat usaha yang saudara saudari buat bersama saya di PMO dan seluruh penjawat awam yang ada di semua peringkat di negara kita.
“Saya fikir kita berjaya capai satu kejayaan,” katanya.
Beliau antara antara lain menyebut kejayaan mencapai imuniti kelompok di ibu negara Kuala Lumpur dan juga kawalan pergerakan yang menurutnya berjaya menyelamatkan nyawa.
“Vaksinasi luar biasa dan diunjurkan pada Oktober (negara) hampir campai imuniti kelompok. Ini satu pencapaian yang agak luar biasa.
Oleh itu beliau terpaksa mendabik dada atas rekod tersebut kerana tiada pihak yang akan berbuat demikian, katanya.
“Jadi kalau orang kata kita tak buat apa yang patut, saya rasa mereka salah,” tambahnya.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga mengucapkan penghargaan kepada seluruh kakitangannya dan juga kepada perkhidmatan awam dan memohon maaf atas segala kesilapannya. – 21 Ogos, 2021.
Komen