India lulus penggunaan kecemasan vaksin ZyCoV-D


Setakat ini, lebih 574 juta dos vaksin Covia-19 sudah diberi di India. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2021.

INDIA meluluskan penggunaan kecemasan vaksin kedua buatan tempatan ZyCoV-D, umum Jabatan Bioteknologi semalam.

Vaksin berasaskan asid deoksiribonukleik (DNA) pertama di dunia itu dibangunkan syarikat farmaseutikal India Zydus Cadila. ZyCoV-D dibangunkan dengan kerjasama Jabatan Bioteknologi India. Ia juga vaksin pertama diluluskan untuk golongan kanak-kanak 12 tahun ke atas di negara itu.

Vaksin ZyCoV-D boleh disuntik tanpa menggunakan jarum suntikan, dan diluluskan ketika kadar vaksinasi di seluruh negara meningkat sejak beberapa minggu lalu. 

“Apabila vaksin tiga dos ini disuntik, ia akan menghasilkan spike protein (protein pepaku) virus SARS-CoV-2 dan mencetus tindak balas imun.

“Teknologi plug-and-play (pasang dan pakai) berdasarkan platform DNA plasmid dengan mudah boleh disesuaikan untuk menangani mutasi virus, seperti yang berlaku sekarang, ” menurut kenyataan Jabatan Bioteknologi.

Vaksin ZyCoV-D adalah vaksin keenam yang diluluskan untuk digunakan di India selepas Moderna; Covishield dan Covaxin yang dikembangkan oleh firma India Bharat Biotech; Sputnik V buatan Rusia; dan Johnson & Johnson.

Setakat ini, lebih 574 juta dos vaksin sudah diberi di India. Awal minggu ini, India memecah rekod harian dengan lebih daripada 9.2 juta dos diberi, di bawah program vaksinasi yang bermula pada pertengahan Januari.

Negara itu mensasarkan seluruh penduduk dewasa menerima suntikan vaksin pada akhir Disember. Namun setakat ini sekitar 10% atau 127 juta orang sudah menerima dua dos suntikan lengkap. – AFP, 21 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen