PERDANA Menteri Najib Razak terus menyerang faktor umur Dr Mahathir Mohamad apabila berkata Malaysia tidak akan jadi negara maju pada 2050 jika diterajui pemimpin berusia 93 tahun.
Walaupun tidak menyebut nama pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, Najib berkata hanya Barisan Nasional (BN) kepimpinannya saja yang boleh membawa aspirasi Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang mahu meletakkan Malaysia sebagai negara maju dalam tempoh 32 tahun lagi.
“Percayalah kepimpinan yang ada hari ini, kepimpinan membawa semua ke masa depan yang gemilang seperti mana yang kita harapkan untuk TN50. Top 20 nations in the world (Negara 20 teratas di dunia). Ini inspirasi kita.
“Kalau umur 93, boleh ke membawa kita ke arah itu?” kata Najib berucap melancarkan Sahabat Puteri BN di Kuala Lumpur, hari ini.
Najib menegaskan hanya BN sahaja mempunyai rekod pencapaian cemerlang yang boleh membina masa depan negara.
Ini berbeza dengan pembangkang kata beliau, sebuah gabungan yang tidak pernah diuji dan kerap bercakaran sesama sendiri.
“Kita berjuang dengan penuh keyakinan membina masa depan danmemenuhi harapan rakyat. Kita kumpulan yang boleh membina masa depan. Kita ada ‘track rekod’ yang cemerlang, kemajuan dan tranformasi, keselamatan engra tidak memudaratkan rakyat malaysia.
“Pembangkang is a untested coalition. Mereka tidak senang hati dan curiga satu sama lain. Kita tak boleh pertaruh harapan kepada mereja kecuali kepada BN,” kata beliau.
Semalam, Najib, yang juga pengerusi BN, turut membangkitkan soal umur Dr Mahathir dan mengatakan bekas perdana menteri itu sudah tidak relevan kerana faktor umurnya. Dr Mahathir kini berusia 93 tahun.
Dr Mahathir, yang jadi perdana menteri 22 tahun sebelum bersara pada 2003, dinamakan oleh Pakatan Harapan sebagai calon perdana menterinya kalau gabungan pembangkang itu mendapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang perlu diadakan sebelum Ogos ini.
Pada majlis pemimpin bersama rakyat di Nabawan, di pedalaman Sabah semalam, Najib berkata tiada negara di dunia yang mahu dipimpin oleh seseorang yang sudah berusia 93 tahun, termasuk Zimbabwe.
Bekas Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, 93, meletakkan jawatan November lalu setelah tidak lagi dapat sokongan daripada partinya sendiri, selepas 40 tahun menerajui negara itu dalam pentadbirannya yang diselubungi rasuah dan salah urus kewangan.
Dr Mahathir, 93, dinamakan oleh Pakatan Harapan sebagai calon perdana menterinya jika gabungan pembangkang itu dapat mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14, yang perlu diadakan sebelum Ogos ini. – 20 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan