Polis dapatkan perintah mahkamah halang protes Lawan esok 


Alfian Z.M. Tahir

Peserta merancang berhimpun di Dataran Merdeka pada pukul 11.30 pagi esok tanpa kebenaran pihak berkuasa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2021. 

POLIS telah mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang 33 individu dan beberapa lagi yang tidak dinamakan daripada menyertai protes di Kuala Lumpur esok. 

Ia bagi menghalang mereka daripada mengadakan protes antikerajaan di Dataran Mereka dan berarak dari kompleks beli-belah Sogo ke Masjid Jamek untuk ke dataran. 

Perintah itu dibuat bagi pihak ketua polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, yang dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. 

Menurut perintah mahkamah, peserta merancang berhimpun di Dataran Merdeka pada pukul 11.30 pagi esok tanpa kebenaran pihak berkuasa. 

“Justeru bagi mengelakkan gangguan, mahkamah mengambil pendekatan untuk menghalang insiden yang tidak diingini yang boleh membawa kepada kekacauan atau rusuhan sekiranya perhimpunan dibenarkan berlangsung. 

“Perarakan 1 kilometer dari kompleks beli-belah Sogo ke Masjid Jamek adalah dilarang dan tiada siapa dibenarkan menyertainya, hadir atau mengambil bahagian dalam perhimpunan itu,” menurut arahan berkenaan. 

Peserta yang dinamakan dalam perintah itu adalah: Mohamad Asyraf Sharafi Mohamad Azhar, Mohamad Alshatri Abdullah, Nur Qyira Izzati Yusri, Sevan Doraisamy, Tharmelinggem Pillai, Amir Hariri Abd Hadi, Chew Chuan Yang, Numan Afifi Sa’adan, Syazwan Mahmud, Nik Azura Nik Nasron, Siti Nurrizah Mohd Tazali, Sarah Irdina Mohamad Ariff, Umar Mohamad Azmi, Teo Lee Ken, Asheeq Ali Sethi Alivi, Tian Chua, Nashita Mohd Noor, Bad Latiff Mansor, Asma Bad Latiff, Muhammad Adrian Shahputra,Nasir Mat Isa, Alif Aiman Asri, Edlyn Beverly Joeman, Thanussa Francis Xavier, Thiban Subbramaniam, Mathen Muniasupran, Abd Malek Hussin, Sharan Raj Muniandy, Muhamad Zharif Muslim, Mayna Ramesh Patel, Nadia Malyanah Azman, Shaan Gom dan Nurul Zariah Jakaria.

Mereka adalah sebahagian daripada Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang menganjurkan beberapa protes terhadap kerajaan dalam tempoh dua bulan lalu. 

Turut dinamakan dalam perintah berkenaan adalah “mereka yang lain yang akan dikenal pasti oleh polis.” 

Pada Rabu, jurucakap kumpulan itu Ashraf Sharafi – yang turut dinamakan dalam perintah berkenaan – berkata rancangan untuk mengadakan protes pada 21 Ogos akan dibatalkan susulan peletakan jawatan oleh Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Ia merupakan salah satu daripada tiga tuntutan kumpulan berkenaan. Mereka juga menuntut Parlimen dibuka semula dan moratorium automatik kepada semua rakyat bagi membantu mngurangkan beban ketika sekatan pergerakan Covid-19. 

Pada 31 Julai lalu, kumpulan berkenaan menganjurkan protes di Dataran Merdeka bagi mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan. 

Sebelum itu, mereka turut mengadakan protes dalam kenderaan ketika memancu. 

Malam tadi, 31 daripada SRR ditahan kerana mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka bagi mengingati mangsa Covid-19 yang meninggal dunia.

Mereka turut dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang kerana menyertai dan menganjurkan perhimpunan itu. 

Noor Dellhan berkata ahli SSR telah melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara.– 20 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen