KES aktif Covid-19 mencapai tahap tertinggi 257,417 ketika Malaysia terus melaporkan lebih banyak jangkitan baharu berbanding kes pulih, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Hari ini juga merupakan hari ke-56 jangkitan baharu melebihi kes sembuh.
Dr Noor Hisham berkata seramai 1,062 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 518 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan.
Selain itu, 233 kematian turut dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban keseluruhan sebanyak 13,713 orang, katanya.
199 kematian melibatkan warga tempatan, selebihnya 33 adalah warga asing, kata Dr Noor Hisham.
Kes kematian hari ini dilaporkan di Selangor sebanyak 101 maut, Kuala Lumpur (31), Johor (23), Sabah (17), Perak (16), Pulau Pinang (15), Negeri Sembilan (11), Kedah (9), Terengganu (4), dan masing-masing tiga di Kelantan dan Pahang.
Sebanyak 60 kes dinyatakan sebagai mati sebelum tiba di hospital, di mana 44 melibatkan rakyat Malaysia dan 16 warga asing, kata Dr Noor Hisham.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai perkembangan kes baharu hari ini, beliau berkata, sebanyak 19,362 atau 82.2% kes positif melibatkan mereka yang belum divaksin.
Dari jumlah tersebut 9,531 adalah kes dalam Kategori 1 (tanpa gejala), 9,463 dalam Kategori 2 (bergejala) dan 195 dalam Kategori 3 (pesakit dengan radang paru-paru).
Dr Noor Hisham berkata, terdapat 65 kes dalam Kategori 4 (memerlukan oksigen) dan 108 dalam Kategori 5 (kritikal dan memerlukan ventilator).
Bagi mereka yang telah divaksinasi, 2,257 kes berada dalam Kategori 1 dan 1,882 dalam Kategori 2. Sepuluh pesakit kritikal berada dalam Kategori 5, manakala 12 kes dalam Kategori 4 dan 41 dalam Kategori 3. – 20 Ogos, 2021.

Komen