Pejuang tandatangan SD untuk sokong Anwar, kata Dr Mahathir 


Noel Achariam

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata empat ahli Parlimen parti itu menandatangani SD bagi menyokong Anwar Ibrahim.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2021.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim dicalonkan oleh Pejuang untuk menjadi perdana menteri seterusnya selepas empat ahli Parlimen parti itu menandatangani surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong beliau, kata Dr Mahathir Mohamad. 

Pengerusi Pejuang berkata mereka menandatangani SD berkenaan dengan harapan Anwar akan mempunyai sokongan yang cukup. 

“Hanya empat ahli Parlimen dalam Pejuang dan kami menandatangani SD untuk menyokong beliau. Tetapi beliau tak dapat,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Terdahulu hari ini, Yang di-Pertuan Agong mengumumkan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke sembilan esok. 

Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara sejurus selepas Agong mempengerusikan mesyuarat khas selama dua jam bersama Raja-Raja Melayu hari ini. 

Dr Mahathir bagaimanapun percaya Anwar adalah seorang yang tidak akan mengalah untuk mendapatkan jawatan perdana menteri. 

“(Bekas perdana menteri) Najib Razak dan (Presiden Umno) Ahmad Zahid Hamidi, saya percaya dah habis (tidak akan jadi PM). 

“Anwar ialah seorang yang akan berjuang hingga akhir. Tidak lama Anwar akan mendapat lebih ramai sokongan daripada Ismail Sabri.”

Mengenai kepimpinan Ismail Sabri, Dr Mahathir berkata beliau tidak mempunyai banyak pengalaman. 

“Namun sebagaimana yang kit atahum beliau tidak terlibat dengan sebarang perjanjian macam Najib. Jika beliau (Ismail Sabri) jadi “cash is king” jadi ia sama macam sebelum ini.”

Mengenai kerjasama dengan Kabinet baharu apabila ia ditubuhkan, Dr Mahathir berkata Pejuang tidak berminat dengan sebarang jawatan.

“Kita kini terjejas dengan pandemik Covid-19. Walaupun bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin melaksanakan darurat, kes masih lagi tinggi.

“Kita juga ada beri cadangan, tapi tak didengar. Bagi Pejuang itulah perjuangan kami, untuk tangani isu pandemik, sosial dan ekonomi.”

Ahli Parlimen Langkawi berkata mereka akan menyokong Ismail Sabri sekiranya Majlis Pemulihan Negara ditubuhkan. 

“Itu (MPN) kita akan sokong. Tetapi jika beliau mahu bentangkan usul (di Parlimen kita perlu tengok dahulu).

“Kita tidak boleh katakan kita secara terang-terangan menyokongnya.”

Pada 3 Ogos lalu, Dr Mahathir merayu kerajaan sebelum ini untuk membenarkan beliau menubuhkan MPN. 

Beliau berkata kerajaan tidak mampu menguruskan pandemik Covid-19 justeru mereka mencadangkan majlis berkenaan selesaikan isu itu. 

Dr Mahathir bagaimanapun berkata mereka menolak cadangannya.– 20 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen