Malaysia catat rekod tertinggi Covid-19 dengan 23,564 kes 


Ravin Palanisamy

Ini merupakan hari ketiga berturut-turut negara merekodkan jumlah kes tertinggi Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2021.  

MALAYSIA hari ini merekodkan kes jangkitan harian Covid-19 tertinggi dengan 23,564 kes dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes melepasi 1.5 juta, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini merupakan hari ketiga berturut-turut negara merekodkan jumlah kes tertinggi Covid-19. 

Selangor masih merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 6,974 kes. 

Ia juga merupakan negeri yang merekodkan kes jangkitan harian tertinggi buat 120 hari berturut-turut, atau empat bulan. 

Negeri kedua dan ketiga yang mencatatkan kes tertinggi adalah Sabah dan Sarawak. 

Sabah merekodkan 2,738 kes melepasi kes tertinggi yang direkodkan semalam iaitu 2,538, manakala Sarawak juga mengatasi jumlah kes tertinggi 1,566 yang direkodkan pada 16 Ogos lalu dengan 2,548 kes hari ini.

Negeri lain yang merekodkan kes baharu adalah Kedah (1,932), Kuala Lumpur (1,652), Pulau Pinang (1,523), Johor (1,323), Kelantan (1,281), Perak (1,248), Melaka (610), Negeri Sembilan (608), Pahang (517) dan Terengganu (521). 

Perlis merekodkan 64 kes, Putrajaya 24 kes, manakala Labuan hanya merekodkan satu kes baharu. 

Berdasarkan angka berkenaan, Lembah Klang termasuk Putrajaya menyumbang 8,650 kes hari ini. 

Dengan tambahan kes baharu hari ini, jumlah keseluruhan kes di Selangor kini 545,120, diikuti Kuala Lumpur dengan 162,302 kes dan Johor 117,990 kes. 

Jumlah keseluruhan kes di negara ini adalah 1,513,024. 

Sementara itu sebanyak 517,692 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam yang mana 180,810 adalah dos kedua dan 336,882 dos pertama. 

Secara keseluruhannya, sebanyak 29.99 juta dos vaksin telah diberikan yang mana 17.8 juta orang atau 54.5% penduduk menerima dos pertama dan 12 juta atau 37% penduduk menerima dua dos. – 20 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen