Ambiga mulakan petisyen tubuh kerajaan perpaduan demi kestabilan politik


Raevathi Supramaniam

Ambiga Sreenevasan memulakan petisyen di charge.org dan ingin mengumpulkan 5,000 tandatangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2021.

AMBIGA Sreenevasan memulakan petisyen bagi penubuhan kerajaan perpaduan untuk memastikan kestabilan politik ketika negara sedang berdepan cabaran wabak Covid-19.

Peguam hak asasi manusia itu memulakan petisyen di charge.org semalam dan ingin mengumpulkan 5,000 tandatangan.

Sehingga jam 10.20 pagi, sebanyak 2,829 orang sudah menandatangani petisyen tersebut.

“Seorang Perdana Menteri yang baru bakal dilantik. Ini adalah Perdana Menteri yang ke-3 sejak PRU-14.

“Adalah mustahak bahawa kerajaan yang kuat dan stabil ditubuhkan untuk baki penggal sehingga pilihan raya umum akan datang kerana rakyat Malaysia menghadapi masa depan yang tidak stabil dan tidak menentu.,” tulisnya dalam petisyen itu.

Ambiga berkata, kerajaan perpaduan mesti merangkumi wakil daripada semua parti politik dan diawasi Parlimen.

“Fokus utama untuk mengemudi negara ini untuk keluar dari pandemik dan ketidakpastian politik. Lebih ramai wanita harus dilantik dalam kerajaan in.”

 Beliau berkata kerajaan perpaduan adalah satu-satunya cara untuk mengawal lompat parti dan mengurangkan toksik politik yang berlaku sejak 2020.

“Kerajaan perpaduan nasional ini harus ditubuhkan sehingga pilihan raya umum berikutnya, di mana selepas itu parti-parti bebas untuk bertanding bersama atau menentang satu sama lain,” katanya.

Tuntutan lain dalam petisyen tersebut adalah agar krisis kesihatan ditangani oleh pakar dan profesional yang dapat memberikan nasihat ilmiah berdasarkan data terbaik yang ada, mengurus krisis ekonomi dengan menangani masalah gaji dan kesejahteraan sosial serta memastikan pelajar dapat kembali ke sekolah dalam persekitaran yang selamat.

Idea yang sama juga dicadangkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tahun lalu.

Beliau berkata sebuah kerajaan perpaduan yang melangkaui garis politik adalah masa depan Malaysia, kerana rakyat semakin kecewa dan bosan dengan ahli politik ketika krisis kesihatan global. 

Yang di-Pertuan Agong akan bermesyuarat dengan Raja-raja Melayu hari ini bagi membincangkan pelantikan perdana menteri baharu berikutan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin pada Isnin.

Muhyiddin mengundurkan diri selepas hilang majoriti di Parlimen minggu lalu berikutan 15 ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya.

Semua ahli Parlimen kemudian mengemukakan akuan bersumpah mengenai pilihan mereka bagi jawatan tertinggi itu kepada Istana Negara pada Rabu.

Semalam, Agong bertemu 114 ahli Parlimen Perikatan Nasional, Barisan Nasional, GPS dan empat wakil bebas.

Laporan menunjukkan Timbalan Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob mendapat sokongan majoriti tipis untuk menjadi perdana menteri yang baharu. – 20 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen