IBU mengandung berdepan risiko mengalami komplikasi lebih serius sekiranya mereka dijangkiti virus Covid-19, kata pakar kesihatan.
Pakar Sakit Puan serta Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Sunway Dr Janani Sivanathan berkata golongan ini berisiko dimasukkan ke unit rawatan rapi dan memerlukan bantuan pernafasan sekiranya kritikal.
Kelahiran pramatang, kematian bayi sewaktu lahir, pulmonari embolism atau darah beku dalam paru-paru dan praeklampsia, adalah antara komplikasi serius akibat jangkitan Covid-19 ke atas ibu mengandung, katanya.
Kelahiran bayi juga terpaksa dilakukan secara pembedahan apabila ibu tersebut berada dalam keadaan kritikal, tambah Dr Janani .
“Secara amnya, risiko ke atas ibu mengandung ini rendah pada trimester pertama kehamilan, tetapi serius apabila masuk trimester kedua dan ketiga.
“Risiko bagi ibu mengandung dengan komorbiditi jauh lebih tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Risiko lebih tinggi bagi ibu mengandung yang dengan komorbiditi seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang termasuk ibu yang berusia 35 tahun ke atas, tambah Dr Jalani.
Pesakit ini katanya, boleh mengalami masalah pernafasan sehingga perlu dibawa ke hospital, dirawat di unit rawatan rapi dan diberi bantuan pernafasan.
“Adakalanya bayi terpaksa lahir pramatang melalui pembedahan untuk mengurangkan risiko kepada ibu.”
Lebih parah lagi, jangkitan serius boleh meragut nyawa ibu, kata Dr Jalani.

Wanita hamil positif Covid-19 biasanya akan diberi rawatan bagi mengelakkan pembekuan darah; steroid serta vitamin seperti vitamin B, C, D dan zink; selain kadar oksigen mereka dipantau rapi.
Dr Jalani juga berkata risiko bayi mendapat jangkitan semasa dalam kandungan ibu sangat jarang berlaku.
“Ya, keberangkalian itu ada, tetapi sangat jarang dan risikonya rendah melainkan bayi itu terdedah kepada virus.”
Bagaimana ibu hamil boleh melindungi diri mereka dari jangkitan Covid-19?
Menurut Dr Jalani, selain mengambil vaksin, ibu hamil dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengehadkan interaksi dengan orang lain, mengelakkan kawasan sesak dan jangan keluar rumah jika tiada urusan penting.
“Pakai pelitup muka apabila keluar, sentiasa basuh tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman serta elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut sebelum mencuci tangan,” katanya.
Ibu hamil juga dinasihatkan supaya mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengambil vitamin seperti asid folik, vitamin C dan D. Selain itu, ibu hamil digalakkan supaya bersenam.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada minggu lalu berkata seramai 70 ibu mengandung meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 tahun ini sahaja, berbanding tiada kematian pada tahun lalu.
Sebanyak 29 ibu hamil meninggal dunia pada Julai manakala 17 lagi kematian dicatat sehingga 9 Ogos, tambahnya.
Menurut Dr Noor Hisham, 47% daripada ibu mengandung yang meninggal dunia akibat Covid-19 mempunyai sejarah penyakit kronik. – 2 September, 2021.
Komen