ORANG ramai diberi amaran tidak leka dengan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi, termasuk makan di kedai dan pembukaan semula pasar malam yang bermula esok bagi mereka yang sudah menerima vaksin sepenuhnya di negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata, tempat-tempat ini dibuka semula bagi menyokong ekonomi dan bukan kerana kawasan itu selamat dari Covid-19.
Beliau mengingatkan semua orang untuk terus mematuhi langkah keselamatan.
“Peringatan untuk semua, banyak tempat dibuka kerana ekonomi dan bukan kerana selamat.
“Perlu diingat, tolong pakai topeng muka, dua lapis jika boleh, praktikkan jarak sosial dan kerap mencuci tangan. Elak tempat sesak dan terkurung. Tetap selamat dan dapatkan vaksin,” katanya menerusi Twitter.
Putrajaya hari ini melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi individu yang diberi vaksin sepenuhnya di negeri Fasa 1 di bawah PPN.
Perdana menteri sementara Muhyiddin Yassin berkata, individu yang sudah menerima kedua-dua dos vaksin mereka akan dibenarkan makan di kedai dan bersukan tanpa sentuhan fizikal serta bukan berkumpulan.
Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak mereka yang berusia 17 tahun ke bawah untuk makan di kafe dan restoran.
Beliau juga berkata, kerajaan memutuskan untuk membenarkan pasar malam dibuka di bawah Fasa 1.
Muhyiddin berkata kerajaan memutuskan untuk melonggarkan SOP bagi individu yang diberi vaksin sepenuhnya di Fasa 1 bagi Labun, Sarawak, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selepas jumlah kemasukan ke hospital bagi tahap 3 dan 4 Covid-19 menurun selepas kadar vaksinasi untuk golongan dewasa mencapai 40%.
Beliau berkata, kadar vaksinasi orang dewasa untuk Lembah Klang juga sangat memberangsangkan kerana sudah mencapai 73.8%.
Kelonggaran ini dibuat ketika Malaysia mencatatkan rekod tertinggi 22,948 kes baharu Covid-19 dengan Selangor dan Kuala Lumpur – dua negeri Fasa 1 mencatatkan 8,614 kes.
Selangor terus mendahului senarai negeri dalam jumlah kes harian yang mencecah lebih 6,000 sehari. – 19 Ogos, 2021.
Komen