Gerakan Kami Malaysia cadang moratorium politik


Diyana Ibrahim

Gerakan Kami Malaysia mencadangkan pelaksanaan moratorium politik secara total untuk bantu politik baharu Malaysia keluar dari ketidaktentuan situasi politik tanah air. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2021.

GERAKAN Kami Malaysia yang didukung 42 tokoh terdiri daripada pelbagai gabungan aktivis, badan bukan kerajaan, para akademik, masyarakat sivil mencadangkan pelaksanaan moratorium politik secara total.

Salah sorang pendukung dan juga jurucakap gerakan Kami Malaysia, Mohd Nizam Mashar berkata cadangan moratorium politik itu dilihat sebagai salah satu  jalan penyelesaian terbaik bagi membudayakan semula politik baharu Malaysia untuk keluar dari ketidaktentuan situasi politik tanah air yang berlaku hari ini.

Jelas beliau moratorium politik ini perlu keluar dari kerangka politik yang berkisar kepada kepartian bagi memastikan matlamat itu tercapai.

Beliau berkata Kami Malaysia melihat proses pelantikan perdana menteri dan jemaah menteri yang baharu seperti yang lazim diamalkan sebelum ini dimana berdasarkan kepada perbincangan di kalangan parti komponen dalam kerajaan bukan jalan keluar terbaik.

“Ini memandangkan proses perebutan kuasa akan sentiasa berlaku nanti. Kerana itu Kami Malaysia memulakan satu pergerakan yang terdiri daripada rakyat Malaysia berbilang kaum, agama, merentas fahaman politik serta pegangan ideologi bagi menuntut dan menawarkan  penyelesaian kepada permasalahan pada hari ini,” kata pengerusi Pertubuhan Pembangunan dan Penyelidikan Antarabangsa untuk Kelestarian (IDRIS) dalam majlis pelancaran gerakan itu hari ini.

Sementara itu pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Prof Dr Ahmad Murad Mohd Noor Merican berkata dalam konteks cadangan moratorium politik perdana menteri atau menteri kabinet sepatutnya meletakkan jawatan mereka dalam parti.

Beliau berkata perkara ini membolehkan berlakunya pemisahan kuasa antara parti dan pentadbiran dalam kerajaan.

“Kita hendak hendak pentadbiran negara berjalan telus dan licin tanpa gangguan atau gesaan kuasa dan ideologi  untuk mendominasi pemerintahan. Jadi perlu ada tindakan atau ‘political will’ di mana salah satunya paling terdekat boleh dilakukan mereka yang diantik untuk terajui kerajaan mesti melepaskan jawatan dari parti politik.

“Maksudnya di sini kalau dia merupakan presiden parti dan lepas diilantik sebagai ketua kerajaan dia mesti melepaskan jawatan jadi itu salah satu tafsiran apa dikatakan moratorium politik,” katanya.

Beliau berkata kenyataan Ketua Setiuasaha Negara Mohd Zuki Ali berkata pentadbiran kerajaan tidak tergugat biarpun dengan situasi peralihan negara membuktikan cadangan itu boleh dilakukan.

Malah katanya, pemisahan kuasa antara parti juga pernah berlaku semasa krisis politik di Kelantan pada 1977 apabila negeri itu ditadbir oleh pengarah kerajaan sehinggalah pilihan raya diadakan pada Mac 1978.

“Apa berlaku menunjukkan kita boleh andaikan sebuah negara boleh diurus tadbir dengan baik tanpa parti politik dan kita boleh fikir sebaik mungkin. Apabila saya kata dinyahkan bukan dihapuskan parti politik tapi dinyahkan amalan, gelagat, tabiat, keadaan adab ahli politik.

“Apa yang boleh kita lakukan kita mulakan satu reformasi parti politik yang melibatkan dalam Parlimen, ia tidak pernah dicadangkan di Malaysia. Sebenarnya kita terlepas peluang itu semasa pilihan raya umum 2018.

“Yang menang parti politk tidak cadangkan reformasi parti politk hanya reformasi institusi tapi kita masih boleh cadangkan dan teruskan inisiatif supaya parti politk di letak ditempat yang betul,” katanya.

Majlis pelancaran Kami Malaysia itu disiarkan secara langsung di laman Facebook gerakan itu. Selain Ahmad Nizam dan Dr Ahmad Murad nama lain yang menjadi pendukung gerakan itu ialah Pengarah Institut Alam & Tamadu Melayu Dr Awang Sariyan, Pengarah Ekskutif Third World Network Chee Yoke Ling, Majlis Perundingan NGO Islam  Malaysia Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid. – 19 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen