JUMLAH kes aktif Covid-19 hari ini mencatat rekod tertinggi dengan 255,534 kes dilaporkan hari ini selepas negara sekali lagi merekodkan lebih banyak kes baharu berbanding kes pulih, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata, Malaysia mencatatkan 22,948 kes baharu Covid-19 dan 21,720 kes pulih setakat hari ini, yang merupakan angka tertinggi bagi kedua-dua kategori.
Ini adalah hari ke-55 berturut-turut jumlah kes baharu melebihi kes pulih.
Dari kes aktif tersebut, sejumlah 1,060 pesakit berada di unit rawatan rapi (ICU) dan 528 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, untuk hari ke-25 berturut-turut, Malaysia mencatatkan kes kematian dalam tiga angka dengan 178 kematian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kematian keseluruhan di negara ini menjadi 13,480 orang.
Dr Noor Hisham berkata daripada kes kematian yang dilaporkan hari ini, 155 melibatkan warga tempatan dan 23 adalah warga asing.
Negeri yang merekodkan kes kematian adalah Selangor 65 kes, Johor (36), Kuala Lumpur (23), Sabah (11), Pulau Pinang, Pahang dan Melaka (masing-masing 8), Kelantan (5), Negeri Sembilan, Sarawak dan Terengganu (masing-masing 4), Kedah dan Perak (masing-masing 1).
Tambah Dr Noor Hisham daripada jumlah kematian hari ini, 35 adalah kematian luar hospital (BID), yang mana 26 adalah rakyat tempatan dan sembilan adalah warga asing.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai kes jangkitan baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata 17,981 atau 78.4% kes positif hari ini melibatkan mereka yang belum divaksin.
Daripada jumlah itu, 9,068 adalah kes Kategori 1 (tidak bergejala), 8,528 Kategori 2 (bergejala ringan) dan 164 dalam Kategori 3 (pesakit dengan radang paru-paru). Bagi peringkat lebih tinggi, 65 kes direkodkan bagi Kategori 4 ( pesakit memerlukan bantuan oksigen dan 156 dalam Kategori 5 (kritikal dan memerlukan alat bantuan pernafasan).
Bagi kes yang sudah divaksin, 2,532 adalah Kategori 1 dan 2,372 dalam Kategori 2.
31 daripada mereka adalah kritikal dalam Kategori 5, manakala 12 kes dalam Kategori 4 dan 29 Kategori 3.– 19 Ogos, 2021.

Komen