Kami akan terus pantau PM baharu, kata aktivis Lawan 


Elill Easwaran

Jurucakap aktivis Lawan ketika bercakap kepada pemberita selepas menghantar memorandum ke Istana Negara hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 Ogos, 2021.

PELETAKAN jawatan Muhyiddin Yassin merupakan kemenangan besar rakyat Malaysia namun perdana menteri seterusnya perlu segera memulihkan situasi negara, kata Sekretariat Solidariti Rakyat. 

Kumpulan berkenaan yang pernah menganjurkan beberapa siri perhimpunan membantah Muhyiddin turut membatalkan rancangannya untuk mengadakan satu lagi bantahan pada 21 Ogos.

Bagaimanapun kumpulan itu turut memberi pesanan kepada perdana menteri seterusnya bahawa perjuangan Lawan tidak akan berakhir. 

“Kami tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan lebih banyak aksi jikalau kerajaan baru yang akan dibentuk gagal untuk melaksanakan tanggungjawab memastikan negara ini aman daripada pandemik dan kemelut politik dangkal,” kata jurucakap kumpulan itu Ashraf Sharafi dalam satu kenyataan hari ini. 

“Perdana Menteri yang akan dilantik perlu mempunyai fokus, idea, kemahuan dan keberanian untuk memastikan rakyat Malaysia dibela setelah sekian lama ditindas oleh kerajaan yang asyik berpolitik tetapi mengendahkan kemahuan rakyat.”

Beliau juga berkata keabsahan perdana menteri baharu juga perlu dibuktiken menerusi undi percaya di Parlimen. 

Katanya penggunaan surat akuan yang tidak telus, juga tidak mengendahkan mandat rakyat yang memilih ahli-ahli Parlimen kawasan mereka. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyerahkan memorandum kepada Istana Negara hari ini. 

“Turunnya Muhyiddin adalah satu kemenangan rakyat Malaysia yang mempertanggungjawabkan beliau ke atas gugurnya lebih 13,000 nyawa yang telah pergi akibat kegagalan kerajaan pimpinan beliau dalam mengekang Covid-19,” kata Ashraf. 

Muhyiddin meletakkan jawatan awal minggu ini selepas hilang sokongan majoriti di Parlimen apabila 15 ahli Parlimen Umno bertindak menarik balik sokongan mereka. 

Tindakan itu menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional tumbang. 

Bagaimanapun gabungan itu dilihat sedia kembali berkuasa sekiranya Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri baharu.

Sekretariat Solidariti Rakyat menganjurkan protes di Dataran Merdeka pada 31 Julai lalu untuk mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan.

Selain peletakan jawatan Muhyiddin, kumpulan aktivis berkenaan juga menuntut agar Parlimen dibuka semula, dan memberikan moratorium bayaran semula pinjaman secara automatik berikutan masalah yang dihadapi berikutan sekatan pergerakan Covid-19. 

Sebelum itu, kumpulan berkenaan juga pernah menganjurkan protes dalam kenderaan untuk rakyat menunjukkan bantahan mereka ketika memandu. – 19 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen