SEBANYAK 50.2% daripada populasi dewasa di Malaysia sudah melengkapkan imunisasi dengan dua dos vaksin setakat semalam, kata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV).
JKJAV berkata 75.3% dewasa di negara ini sudah menerima dos pertama vaksin.
Semalam, sebanyak 531,114 dos vaksin diberikan, dengan 342,640 daripadanya adalah bagi penerima dos kedua sementara 188,474 dos pertama.
Daripada jumlah itu, Lembah Klang memberikan jumlah tertinggi dengan 178,264 dos – Selangor 109,035 dos sementara Kuala Lumpur 69,229 dos.
Dengan jumlah itu, sebanyak 4.5 juta atau 54% populasi di Lembah Klang sudah menerima dos lengkap vaksin, sementara 6.5 juta atau 77.8% menerima dos pertmaa.
Secara keseluruhan, negara ini mengimunisasi lebih 29.36 juta penerima dos vaksin Covid-19, dan dengan jumlah itu, 17.6 juta atau 54% populasi sudah menerima dos pertama dan 11.7 juta atau 36% sudah melengkapkan dos vaksin.
Labuan merekodkan kadar vaksin penuh paling tinggi dengan 90% populasi dewasa atau 61,472 penerima dua dos.
Putrajaya menyasarkan untuk memberi imunisasi kepada separuh daripada populasi dewasa di negara ini menjelang Hari Kemerdekaan, 31 Ogos.
Sementara itu, sekatan kawalan pergerakan dilonggarkan bagi individu yang sudah lengkap vaksin di negeri yang sedang dalam fasa 2 dan ke atas Pelan Pemulihan Negara.
Individu yang sudah lengkap dua dos vaksin di negeri berkenaan boleh makan di premis dan melakukan perjalanan rentas daerah. – 19 Ogos, 2021.
Komen