PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu mengecam tindakan terdesak negara kaya di dunia yang memberi suntikan penggalak vaksin Covid-19 ketika jutaan penduduk dunia masih belum menerima sebarang dos.
Bercakap sebelum pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengumumkan semua rakyat Amerika yang divaksinasi bakal menerima dos tambahan, pakar WHO menegaskan tiada bukti saintifik mencukupi yang penggalak diperlukan.
Memberikan suntikan itu ketika masih ramai yang menunggu dos pertama adalah tidak bermoral, kata mereka.
“Kita merancang untuk memberikan jaket keselamatan tambahan kepada mereka yang sudah memiliki jaket keselamatan, pada masa sama membiarkan orang lain mati lemas tanpa satu pun jaket keselamatan,” kata Pengarah Kecemasan WHO, Mike Ryan kepada wartawan, dari ibu pejabat agensi PBB di Geneva.
“Secara dasarnya kita memberikan jaket keselamatan kedua sambil membiarkan jutaan orang lain tanpa apa-apa untuk melindungi mereka.”
Awal bulan ini, WHO menggesa moratorium pengambilan vaksin Covid-19 untuk membantu meringankan ketaksamaan taburan dos antara negara kaya dan miskin.
Bagaimanapun, ia tidak menghentikan sebilangan negara maju meneruskan rancangan memberikan suntikan ketiga, ketika mereka bergelut mengekang varian Delta.
Suntikan pertama penting
Pihak berkuasa AS, yang memberi amaran keberkesanan vaksinasi Covid-19 semakin berkurang dari semasa ke semasa berkata pada Rabu yang ia membenarkan suntikan penggalak untuk semua penduduk Amerika mulai 20 September.
Ia akan bermula lapan bulan selepas seseorang menerima vaksinasi lengkap.
Walaupun vaksin masih efektif bagi mengurangi risiko penyakit parah, kemasukan ke hospital dan kematian akibat kesan Covid-19, perlindungan mungkin berkurangan beberapa bulan kemudian tanpa imunisasi penggalak.
Washington sudah memberi dos tambahan kepada penduduknya yang mempunyai sistem imuniti lemah.
Israel juga sudah mula memberikan dos ketiga kepada rakyatnya yang berusia 50 tahun ke atas.
Bagaimanapun, pakar WHO menegaskan tiada bukti kukuh mengenai dos penggalak dan menegaskan penduduk di negara berpendapatan rendah yang masih belum menerima vaksin jauh lebih penting.
“Adalah penting untuk mendapatkan suntikan pertama dan melindungi golongan paling rentan sebelum penggalak diberikan,” kata Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media itu.
“Jurang antara yang sudah memperolehnya dan yang belum hanya akan bertambah besar jika pengeluar dan pemimpin mengutamakan suntikan penggalak berbanding bekalan kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.
Tedros menyuarakan kemarahan berhubung laporan yang vaksin satu dos J&J yang kehabisan habis di Afrika Selatan dihantar ke Eropah “yang hampir semua orang dewasa sudah ditawarkan vaksin pada masa ini”.
“Kami mendesak J&J agar segera mengutamakan pengedaran vaksin mereka ke Afrika sebelum mempertimbangkan bekalan ke negara kaya yang sudah memiliki akses mencukupi,” katanya.
“Ketidakadilan vaksin memalukan seluruh umat manusia dan jika kita tidak menanganinya bersama-sama, kita akan memanjangkan tahap serius wabak ini selama bertahun-tahun sedangkan ia boleh berakhir dalam beberapa bulan.”
NGO Afrika Selatan mengecam penghantaran dari Afrika Selatan sebagai “apartheid vaksin” apabila kurang 2% daripada 1.3 bilion penduduk Afrika mendapat suntikan lengkap setakat ini.
“Jutaan dos” yang dihasilkan di sana dieksport sejak Mac ke Eropah dan AS, kata beberapa NGO dalam satu kenyataan pada Selasa.
“J&J terlibat dalam vaksin apartheid, menghantar dos daripada mereka yang benar-benar memerlukannya kepada negara terkaya di dunia,” kata Fatima Hassan, daripada NGO Afrika Selatan Inisiatif Keadilan Kesihatan, kepada AFP.
Dos dikumpulkan dan dibungkus di Afrika Selatan oleh syarikat gergasi farmasi Aspen di Gqeberha, yang sebelumnya dikenali sebagai Pelabuhan Elizabeth.
“Peruntukan vaksin global pada masa ini bukan dilakukan oleh pegawai kesihatan awam tetapi sebaliknya oleh segelintir pegawai syarikat, yang secara konsisten mengutamakan Eropah dan Amerika Utara berbanding Afrika,” kata Dr Matthew Kavanagh dari Institut Undang-Undang Kesihatan di Universiti Georgetown. – AFP, 19 Ogos, 2021.
Komen