Mosti, KKM jamin program vaksinasi, usaha kawal Covid-19 berjalan lancar


Mosti dan KKM dalam kenyataan bersama berkata Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kini berada di landasan tepat dalam usaha negara untuk mencapai perlindungan yang dikehendaki pada Oktober ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2021.

JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), yang diterajui bersama oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), akan meneruskan pelaksanaan semua usaha pengawalan pandemik dan vaksinasi negara seperti yang telah dirancang dalam keadaan semasa pentadbiran negara.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan Ketua Setiausaha (KSU) Mosti Ir Dr Siti Hamisah Tapsir dan KSU KKM Mohd Shafiq Abdullah hari ini, memaklumkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini berada di landasan tepat dalam usaha negara untuk mencapai perlindungan yang dikehendaki pada Oktober ini.

Menurut kenyataan itu, lebih 28 juta dos suntikan telah diberikan di Malaysia setakat ini.

Setakat 16 Ogos, sebanyak 47.2% populasi dewasa Malaysia telah lengkap divaksinasi sementara lebih 73% penduduk telah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama.

“Momentum kadar pemberian vaksinasi negara juga terus kekal konsisten dan semalam (17 Ogos) melepasi 500,000 suntikan iaitu sebanyak 501,776 dos diberikan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 325,902 suntikan adalah untuk dos kedua, manakala 175,874 suntikan adalah untuk dos pertama,” menurut kenyataan itu.

Sehingga 16 Ogos juga, Sarawak, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka, Wilayah Persekutuan (WP) Labuan dan Lembah Klang telah mencatatkan peratusan populasi dewasa Malaysia melebihi 40% kadar vaksinasi iaitu nilai ambang yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara. 

Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Pahang dan Kedah telah mencapai 30 hingga 39%, manakala Kelantan, Johor dan Sabah telah mencapai antara 20 hingga 29% kadar vaksinasi.

Menurut kenyataan itu, langkah strategik yang telah dirancang bagi mengoptimumkan perkhidmatan penjagaan dan rawatan kesihatan awam di seluruh negara ketika berhadapan pandemik Covid-19 juga akan terus dilaksanakan.

Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) akan meneruskan fokus kepada usaha logistik, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan pemantauan kendiri di rumah selain memastikan sistem sokongan sosial bagi petugas barisan hadapan di Lembah Klang terus berfungsi dengan baik.

Sejumlah 33,879,979 dos telah dibekalkan untuk tujuan pemvaksinan sehingga 16 Ogos.

Menekankan vaksin Covid-19 berkesan bagi mencegah daripada jangkitan, kenyataan itu memaklumkan daripada 19,740 kes baharu yang dilaporkan pada 16 Ogos, hanya 1.5% kes berada dalam kategori 3-5 iaitu individu yang memerlukan rawatan rapi kerana jangkitan paru-paru, oksigen dan ventilator, manakala majoriti kes iaitu 85.13% adalah kategori 1 dan 2, yang tiada gejala dan bergejala ringan.

Kes harian Covid-19 mencatatkan penurunan di Sarawak dan Labuan kesan daripada liputan imunisasi yang tinggi.

Menurut kenyataan itu lagi, sejak pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, terdapat penurunan kes kemasukan ke hospital dan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) seperti di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dengan jumlah kemasukan harian pesakit menurun 50% sejak seminggu lepas.

KKM akan terus melaksanakan pengurusan bersepadu Covid-19 di wilayah lain di seluruh negara bagi mengoptimumkan sumber mengikut konsep ‘clustering’ seperti yang dilaksanakan di Lembah Klang. – Bernama, 18 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen